TERKINI :

Friday, October 25, 2013

PAS sedia angkut pengundi jika banjir – Mahfuz

Muhammad Faizal, 24 Okt 2013

JERAI: PAS akan menyediakan kelengkapan bagi membawa pengundi jika banjir berlaku sewaktu hari pengundian PRK Dun Sungai Limau pada 4 November nanti.

Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sunga Limau, Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara tersebut akan dibincang bagi memastikan tindakan segera dapat diambil apabila berlaku banjir.

"Kita akan membincangkan tindakan yang perlu diambil jika berlakunya bencana alam seperti banjir, ini amat penting apabila kita melihat keadaan cuaca yang tidak menentu.

"Apa yang pasti kita akan menyedia bot kecil bagi tujuan mengangkut pengundi-pengundi yang tidak dapat keluar akibat banjir.

"Kita telah lihat apa yang berlaku pada PRK Tenang, Johor sebelum ini dan langkah segera perlu kita rencanakan bagi memastikan ia berjalan lancar tanpa sebarang masalah," kata beliau ketika ditemui di Markas Induk PRK Sungai Limau.

Pesuruhjaya PAS Kedah itu juga berharap agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menyediakan kemudahan seperti bot kecil, pelampung serta beberapa kemudahan lain bagi melancarkan proses pengundian jika berlaku banjir.

Beliau meminta agar kemudahan yang disediakan SPR itu perlu adil untuk kedua-dua parti yang bertanding dan bukannya memihak kepada Barisan Nasional (BN) sahaja.

Kelmarin, Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, pihaknya sudah bersiap sedia sekiranya berlaku banjir sepanjang kempen dan hari mengundi berikutan hujan berterusan melanda beberapa kawasan di negeri ini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...