SUNGAI PETANI - Ibu seorang daripada empat mangsa yang meninggal dunia akibat keracunan makanan di Kampung Huma, Tanjung Dawai dekat sini tidak menyalahkan keluarga yang mengadakan kenduri kahwin itu dan reda dengan kematian anaknya.
  
Lijah Mahmud, 70, ibu Allahyarham Wan Razali Wan Yaacob, 56, berkata, kejadian itu berlaku secara tiba-tiba dan dia menerimanya sebagai takdir ALLAH.
  
Katanya anaknya yang menetap di Kampung Banggol Belau, Merbok meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani kira-kira jam 7.15 malam semalam akibat kegagalan organ dalaman.
  
"Arwah adalah nelayan yang baik dan dia selalu hantar ikan ke rumah makcik di Tanjung Dawai," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Atiq Kampung Merbok dekat sini hari ini.
  
Lijah berkata, dia tidak menghadiri majlis perkahwinan itu Sabtu lepas.

Jenazah Wan Razali dibawa ke masjid itu kira-kira jam 11 pagi sebelum dikebumikan di tanah perkuburan itu.
  
Mangsa berada di HSAH dalam keadaan kritikal sejak dimasukkan ke hospital Ahad lepas sebelum meninggal dunia semalam.
  
Wan Razali adalah kawan rapat tuan rumah kenduri kahwin itu kerana kedua-duanya bekerja sebagai nelayan di kawasan Tanjung Dawai.
  
Allahyarham Wan Razali merupakan mangsa keempat meninggal dunia selepas menghadiri kenduri kahwin di Kampung Huma itu. Tiga lagi mangsa meninggal dunia pada Ahad.
  
Sementara itu, lebih 200 orang lagi tetamu kenduri itu mendapatkan rawatan di beberapa hospital berdekatan dengan yang paling banyak ialah di Hospital Yan dan HSAH.
  
Kesemua mangsa dipercayai mengalami cirit-birit dan muntah-muntah yang kronik selepas memakan lauk ayam masak merah pada kenduri itu.  - Bernama