hadi awang 
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KUALA NERANG - Pas dijangka meletakkan calon muda bersifat ketokohan pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Sungai Limau.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau mahu calon itu memilki sifat kepimpinan seperti bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

“Kalau boleh, kita nak calon itu seperti Azizan. Sama ada calon tempatan atau luar, itu terpulang kepada Pas negeri dan Pusat yang tentukan.

“Syarat yang kita utamakan ialah calon itu mesti boleh melaksanakan tanggungjawab dan amanah untuk membawa mesej Pas. Itu yang penting,” katanya selepas menziarahi pusara Azizan di Muassasah Darul Ulum, hari ini.
Beliau berkata, Pas yakin mampu mempertahankan kemenangan di Dun Sungai Limau dengan majoriti lebih mudah pada PRK nanti.

“Kita akan masuk bertanding dengan penuh keyakinan berdasarkan majoriti undi yang sedia ada pada PRU13 iaitu sebanyak 2,700 undi. Saya yakin dan percaya, jentera-jentera parti di peringkat bawah juga bersedia, bahkan selepas PRU13 pun cawangan kita sentiasa jaga kawasan masing-masing," katanya.

Abdul Hadi berkata, dalam soal pemilihan calon bersesuaian dan bertepatan ciri-ciri dikehendaki rakyat, pihaknya akan mendengar pandangan daripada akar umbi terlebih dahulu.