Di mana pemimpin muda Pas?
KUALA LUMPUR - "Di mana muka pemimpin muda Pas," soal Pengarah Free Public Forum Malaysia (FPFM), Sheikh Omar Ali ketika mempengerusikan sesi soal jawab dalam sesi dialog Survival Pas Dalam Arena Politik Malaysia.

Menjawab soalan tersebut, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menjelaskan Pas tidak ketandusan calon pelapis tetapi belum masa pemimpin muda tersebut muncul di persada politik tanah air.

"Saya yakin banyak (pemimpin muda) tetapi masa mereka hendak muncul itu belum tiba lagi," katanya.

Sheikh Omar menyoal sedemikian oleh kerana mendakwa Pas kelihatan 'lesu' dalam menampilkan pemimpin muda dalam barisan kepimpinan parti tersebut.
"Kalau kita lihat dalam PKR, parti tersebut ada pemimpin muda yang berkaliber seperti Rafizi Ramli.

"DAP juga begitu, namun dalam Pas kita tidak nampak di mana pemimpin pemuda mereka," kata Sheikh Omar ketika sesi dialog tersebut.

Sehubungan dengan itu, Husam menegaskan, pemimpin muda perlulah menonjolkan diri bagi memastikan 'mereka' mendapat tempat di dalam barisan kepimpinan Pas.

"Mereka perlulah berusaha gigih untuk ke depan.

"Seperti saya juga dulu, saya juga dulu pemimpin muda, dulu saya tidak dikenali pada awal kemunculan, namun Alhamdulliah saya berjaya," katanya.

Dialog ini anjuran FPFM serta berlangsung di  KL Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH).

Hampir 100 orang menghadiri sesi dialog tersebut.

Turut hadir dalam dialog itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub; Penolong Setiausaha Agung Pas, Dr Syed Azman Syed Ahmad dan Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.