Muzaini Azizan  
Muzaini Azizan
ALOR SETAR - Pas mahupun Umno perlu meletakkan calon terbaik untuk menawan hati pengundi di Dun Sungai Limau bagi menyaingi kehebatan penyandang kerusi itu, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, yang berjaya menawan Dun itu sejak lima penggal lalu.

Meskipun Sungai Limau lebih sinonim dengan aura Pas berikutan kejayaan Azizan mempertahan kedudukan sejak 1995, namun Umno pasti akan membuat ‘sentuhan ajaib’ selepas ketiadaan Azizan.

Umno dan Pas kini giat menyaring calon-calon diyakini berpotensi serta berpengaruh di kawasan itu untuk diketengahkan pada pilihan raya kecil (PRK), 4 November ini.

Antara calon disebut-sebut mewakili Pas ialah orang yang paling dekat dengan Azizan di Dun Sungai Limau. Setiausaha Pas kawasan Jerai, Muzaini Azizan yang juga Pegawai Khas bekas Menteri Besar itu sudah lama ‘menjaga’ kawasan itu dan sering mewakili Azizan bagi program-program setempat.

Muzaini mungkin menjadi calon pilihan kerana keakraban beliau dengan Azizan, malah ketokohan beliau menguruskan kawasan sejak ketiadaan Azizan termasuk ketika Azizan kerap keluar masuk hospital tidak perlu lagi dipertikaikan.
Malah, beliau dikatakan dikenali penduduk setempat dan mudah untuk Pas berkempen selepas hari penamaan calon, 23 Oktober ini.

Seorang lagi calon yang mungkin disenaraikan ialah Setiausaha Pas Kedah, Musoddak Ahmad, yang juga calon bagi Dun Guar Chempedak pada PRU13 lalu, bertanding menentang Adun Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, yang kini Exco Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi.

Musoddak juga sering turun padang di kawasan itu berikutan menyandang jawatan Ketua Penerangan Pas kawasan Jerai.

Beliau dikatakan mempunyai hubungan baik dengan kepimpinan negeri mahupun Pusat memandangkan  banyak terlibat dengan program kerajaan negeri, ketika Kedah ditadbir PR.

Seorang lagi nama disebut kemungkinan tersenarai, Mohd Muaz Othman al-Yunusi, anak kepada ulama juga pengasas Sekolah Menengah Agama Nahdzah, Bukit Besar.

Mohd Muaz merupakan bekas Ketua Pemuda dan Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Sungai Limau, dan sudah tentu berpengaruh kuat di kawasan itu.

Ketiga-tiga calon itu ternyata menepati kriteria yang disebut oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini, di mana Pas akan ketengahkan calonmuda serta mampu memikul tanggungjawab mempertahan Dun Sungai Limau.

Sumber turut menafikan desas-desus bahawa Pas kemungkinan akan meletakkan seorang anak Azizan sebagai calon untuk meneruskan legasi kepimpinan. Ini kerana anak-anak Azizan belum bergiat aktif dalam politik dan hanya sekadar penyokong.

Umno pula dijangka mempertaruhkan anak tempatan dengan latar belakang berbeza. Antara nama yang disebut-sebut ialah Ketua Umno Bahagian Jerai, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah berdasarkan pengaruh dan pengalaman luas menerajui parti sejak 2008.

Anak kelahiran Kampung Sungai Daun Tengah, Sungai Limau berusia 55 tahun itu, pernah menentang Azizan pada PRU 2004 namun tewas dengan majoriti 1,080 undi.

Nama Mohd Suhaimi juga bukannya asing bagi penduduk setempat malah diterima masyarakat Sungai Limau berikutan penampilannya yang sederhana dan mesra.

Tidak mustahil jika calon Dun Sungai Limau pada PRU13 lalu yang juga sepupu Azizan, Mohd Fadzillah Mohd Ali sekali lagi menjadi taruhan BN.

Ini kerana kali ini beliau tidak perlu berentap dengan orang nombor satu Pas Kedah, sebaliknya calon muka baru, yang sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada beliau.

Faktor kekeluargaan yang terjalin dengan Azizan juga boleh dijadikan kelebihan jika pengundi kawasan itu mahukan legasi Azizan terus bertapak, biarpun dari parti berbeza.

Seorang lagi calon disebut bakal disenaraikan ialah Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu, Syeikh Ahmad Faisol Omar juga bekas pelajar Maktab Mahmud.

Beliau berasal dari Padang Lumat, Yan, berpengalaman lebih 20 tahun menyampaikan ceramah atau forum agama di sekolah, surau, masjid serta jabatan kerajaan di Wilayah Utara. Lulusan Ijazah Sarjana Syariah dari Universiti al-Karaouine, Fes, Maghribi ini mempunyai reputasi baik di kalangan penduduk.

Jika BN mahu mempertaruhkan calon berlatar belakang agama untuk menembusi tembok Pas di Sungai Limau, mungkin ini pilihan yang tepat.

Sumber berkata, akar umbi di kawasan itu dikatakan mahu calon baharu diketengahkan dengan dua kriteria utama iaitu anak tempatan dan mempunyai sedikit sebanyak ilmu agama.

Difahamkan, BN Kedah akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan tertinggi parti berhubung senarai calon PRK Sungai Limau, Isnin ini. [SH]