TERKINI :

Wednesday, October 23, 2013

Banjir kilat landa Alor Setar


Banjir kilat landa Alor Setar 
 Shariffudin (kanan) dan rakannya menunjukkan kawasan Taman Kiara yang dinaiki air.

ALOR SETAR - Hujan lebat lebih sejam di sekitar Bandaraya Alor Setar menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air mencecah 0.5 meter, kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Difahamkan, hujan lebat sejak jam 3 petang kelmarin menyebabkan Taman Kiara dan Jalan Datuk Kumbar turut dilanda banjir kilat sehingga mengakibatkan laluan tenggelam.

Naib Pengerusi Penaja Persatuan Penduduk Taman Kiara, Shariffudin Zaini Awang, 36, berkata, sebanyak 500 keluarga yang tinggal di dua fasa taman perumahan berkenaan terjejas dan mengalami kesulitan berikutan kediaman mereka dinaiki air.

“Taman perumahan berkenaan dipercayai mengalami banjir kilat di atas beberapa faktor termasuklah sistem tali air sepanjang dua kilometer (km) yang tidak diselenggarakan dengan baik dan paras kediaman rendah.

“Berikutan tali air tidak diselenggarakan sejak sekian lama, maka air melimpah ke kawasan berdekatannya,” katanya.

Katanya, kejadian banjir kilat yang melanda turut menyebabkan mereka mengalami masalah kulit dan kerosakan perabot masing-masing.

"Kami mengharapkan pihak berkenaan mengambil tindakan dengan menyelenggarakan tali air berkenaan segera demi membolehkan masyarakat setempatnya menjalani kehidupan lebih selesa," katanya.

Manakala, kira-kira 10 keluarga di Kampung Darat, Hutan Kampung, dekat sini, terus menanggung kesulitan apabila banjir kilat berulang kembali sehingga menyebabkan mereka berhabis ribuan ringgit untuk membaiki rumah masing-masing.

Penduduk, Mohamad Shaharrudin Shuib, 40, berkata, walaupun tindakan diambil seperti meninggikan lantai kediaman namun masalah masih berlarutan.

"Kami perlu memakai kasut but untuk memasuki kediaman masing-masing ekoran masalah berterusan," katanya.

Rakannya, Shukri Ismail, 33, berkata, isu banjir kilat yang menenggelamkan kediaman mereka sejak beberapa tahun ini hanya akan dapat diselesaikan sekiranya tindakan diambil seperti membina sistem saliran demi menyalurkan air ke sungai berdekatan.

Dalam pada itu, masalah banjir kilat yang menenggelamkan kediaman penduduk turut dialami hampir 30 penghuni Taman Permai Baru, Batu 3, Jalan Langgar, dekat sini.

Penduduk, Mohd Rus Salleh, 51, berkata, perkara terbabit berlaku disebabkan kediaman mereka berada di kedudukan rendah berbanding taman perumahan baru berhampiran sehingga mengakibatkan kawasan berkenaan seolah-olah kolam sekiranya hujan.

Katanya, walaupun penduduk menggunakan pam untuk menyedut air keluar ke tempat tadahan, bagaimanapun ia tidak surut berikutan kolam takungan air terbabit terlalu penuh hingga mengalirkan semula air sehingga sampai ke kediaman mereka.

"Kami mengharapkan tindakan jangka panjang daripada pihak berkenaan seperti membina laluan air, sebelum taman perumahan baru berdekatan mendapat Sijil Kelayakan Menduduki (CF) yang dijangka mengeruhkan keadaan sedia adanya," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...