Ulama bantah mahkamah 
Ravil (kiri) ketika mengadakan pertemuan bersama Putin ketika beliau memegang jawatan perdana menteri pada 2010.

MOSCOW - RUSIA . Ulama terkenal Rusia membantah keputusan sebuah mahkamah yang mengarahkan terjemahan al-Quran dimusnahkan selepas mengisytiharkan ia sebagai ekstremis.

Kelmarin, Ketua Majlis Mufti Rusia Ravil Gainutdin menyatakan bantahan beliau menerusi surat terbuka kepada Presiden Vladimir Putin.

Ravil turut mengecam keputusan tersebut yang dianggap sebagai buta huruf dan satu bentuk tindakan provokatif yang sengaja mahu mencetuskan kemarahan orang Islam.

"Masyarakat Islam di negara ini sememangnya terkejut dengan keputusan mahkamah di Pelabuhan Novorossiisk itu yang jelas seperti mengabaikan undang-undang.
"Perintah mahkamah untuk memusnahkan al-Quran sangat keterlaluan. Kami menggesa keputusan tersebut ditarik balik," tegasnya menurut laporan AP.

Minggu lalu, mahkamah mendakwa terjemahan al-Quran oleh Elmir Kuliyev diterbitkan di Arab Saudi pada 2002  melanggar undang-undang persekutuan yang mengharamkan bahan berunsur ekstremis.