ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Tan Sri Azizan Abdul Razak seorang pemimpin berjiwa rakyat.

Katanya, kesungguhan Azizan dalam menyelesaikan permasalahan rakyat amat dikagumi dan arwah juga seorang pemimpin yang disenangi ramai.

“Arwah seorang pemimpin politik yang tidak keterlaluan dalam semua segi, sanggup berbaik sesama pemimpin tanpa mengira parti politik, malah cuba sedaya upaya tunaikan permintaan rakyat,” katanya, ketika ditemui di tanah perkuburan Muassasah Darul Ulum.

Mahathir berkata, hubungan beliau dengan arwah juga sangat rapat walaupun dari parti politik berbeza.

“Hubungan kami baik, walaupun dari parti lain, kita tak ambil kira. Sahabat tetap sahabat, politik lain. Arwah juga dikagumi kerana seorang pemimpin yang berpegang kuat pada ajaran Islam yang sebenar dan tidak pernah seleweng ketika mentadbir Kedah,” katanya.
Sementara, Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir ketika ditemui berkata, sifat keterbukaan Azizan disenangi ramai, dan tidak hairanlah jenazah dikunjungi ramai orang dari serata pelusuk negeri.

“Bagi saya secara peribadi dan mewakili kerajaan negeri termasuk BN, merasakan kehilangan besar kerana arwah memang seorang yang peramah dan suka bergaul dengan semua pihak, tanpa kira fahaman politik,” katanya.

Menurutnya, kebanjiran orang ramai dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) hingga ke Masjid Nurul Ihsan, Langgar, seterusnya di Muassasah Darul Ulum merupakan suatu pengiktirafan terhadap arwah selaku seorang ahli politik yang hebat.

“Saya kagumi sikap arwah yang bijak bergaul bagi memastikan ummah tidak berpecah belah, seperti yang arwah lakukan di Kedah,” katanya.