TERKINI :

Friday, September 6, 2013

Tiada kena mengena dengan Syiah tapi ADUN PAS tolak enakmen kerana berlawan dengan Syariah

oleh Zulkifli Yahaya, 

http://2.bp.blogspot.com/-KeTWloY9OuY/Uh7zau_WDQI/AAAAAAAANOE/A3YkpUAsAQg/s400/PAS+SYIAH+BABI.jpg
TAJUK Sinar yang membuat ramai pembaca konfius
Ramai yang marah-marah kepada Adun PAS Kedah, apabila sebuah akhbar harian menyiarkan sebagai tajuk utama muka hadapan 'Enakmen Anti Syiah Lulus' sedangkan 9 Adun dari PAS tidak menyokong enakmen yang dibentangkan oleh kerajaan Umno dalam Sidang Dun Kedah baru-baru ini.

Hujah mereka, walaupun enakmen itu dicadangkan oleh Umno tetapi oleh kerana ia membawa kebaikan, yakni tegas membanteras ajaran syiah yang menyalahi aqidah, maka ianya patut disokong. Tuduhan yang lebih liar ialah Adun PAS Kedah adalah penyokong Syiah sebab itu tidak mahu wujud enakmen untuk bertindak tegas terhadap Syiah. Begitulah sikap segolongan manusia yang gemar mengulas tanpa meneliti terlebih dahulu apa yang sebenarnya berlaku di sebalik penolakan PAS terhadap enakmen yang kononnya anti Syiah itu.

Sebenarnya enakmen yang dibentang dan diluluskan dengan sokongan majoriti Adun BN tersebut ialah Rang Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2013 bukannya 'Rang Undang-undang Anti Syiah' bahkan sepatah perkataan syiah pun tidak terkandung dalam enakmen tersebut. Justeru, penolakan PAS terhadap enakmen tersebut tiada kena mengena dengan isu Syiah.

Sembilan yang menentang enakmen tersebut terdiri tujuh Adun PAS dan dua KeADILan. Ustaz Azizan Razak (Sungai Limau) dan Dato' Taulan Rasul (Tokai) tiada dalam Dewan ketika pengundian, manakala Adun KeADILan dan DAP yang bukan Muslim tidak mengambil bahagian dalam pengundian kerana tidak mahu mencampuri urusan Islam.
"Kami menolak kerana rang undang-undang ini bertentangan dengan syariah Islam di beberapa fasal," tegas Ustaz Ahmad Yahya, Adun PAS Alor Mengkudu. Beliau mengambil contoh pada fasal ke 17 berkenaan minum arak. Apabila disabitkan dengan kesalahan maka hukumannya ialah denda tidak melebihi RM3000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya. Tiada langsung hukuman sebat sedangkan dalam undang-undang Islam hukuman minum arak ialah sebat.

Fasal ke 21 berkaitan persetubuhan luar nikah (zina), jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau sebat tidak melebihi enam kali, atau mana-mana kombinasi hukuman tersebut. Mengikut undang-undang Islam sebenar penzina belum berkahwin disebat manakala penzina sudah berkahwin direjam hingga mati.

Fasal ke 27 berkaitan hukuman qazaf (menuduh zina), jika sabit kesalahan maka denda tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali. Sedangkan ayat Allah menyebut 80 kali sebatan.

Jika sudah beberapa peruntukan hukuman tidak menepati syariah Islam maka bagaimana enakmen tersebut hendak dikaitkan dengan syariah? Sebab itu PAS menentang.

Peruntukan yang barangkali boleh dikaitkan dengan fahaman Syiah ialah fasal 7 dan 8 berkenaan mempersendakan ayat-ayat Al-Quran dan menyebabkan Islam dipandang hina. Dakwaan kononnya Syiah telah mempersenda ayat Quran kerana menokok tambah isi Al-Quran. Dengan memasukkan fasal 17, 21 dan 37 yakni hukuman yang tidak berlandaskan Al-Quran bukankah boleh ditakrifkan juga sebagai mempersenda ayat Al-Quran? Jika Syiah dikatakan mempersenda Al-Quran kerana menambah isinya, bagaimana pula tindakan Umno 'mengurangkan' isi Al-Quran kerana tidak mahu menerima pakai hukuman yang terdapat dalam Al-Quran?

Ada soalan menarik berhubung kelulusan Rang Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2013 di Dun Kedah. Jika PAS menganggap enakmen tersebut bercanggah dengan syariah Islam, mengapa pula sepanjang lima tahun berkuasa PAS tidak pernah membentangkan rang undang-undang berkaitan syariah yang betul-betul menepati kehendak Islam?

Jawapannya ialah kerana PAS tidak cukup bilangan kerusi untuk melakukannya sewaktu berkuasa sepenggal lalu. Untuk memperkenal atau meminda sebarang enakmen di Dun sesebuah kerajaan memerlukan sokongan majoriti mudah. Pada PRU13, PAS mempunyai 16 daripada 36 kerusi Dun. Jika dicampur satu kerusi Melayu/Muslim KeADILan (Mohd Radzhi - Lunas) ianya menjadi 17, kurang dua kerusi untuk mendapat majotiti mudah. Umno konsisten mendakwa hukuman syariah yang dibawa oleh PAS dan pernah diluluskan di Kelantan dan Terengganu sebagai 'hudud PAS' dan bercanggah dengan Islam sekalipun ianya digubal oleh pakar-pakar syariah termasuk Prof. Dr. Ahmad Ibrahim. Pastinya Umno bersama rakan MCA dan Gerakan mereka akan menolak. DAP dan Non Muslim KeADILan juga sudah dijangka sikap mereka terhadap syariah sebenar termasuk hudud. Kerjasama antara PAS dengan parti tersebut pun bukan berdasarkan aqidah. Ia berbeza dengan MCA dan Gerakan boleh turut bersetuju dengan enakmen syariah yang tidak menepati Islam kerana apa saja yang betentangan dengan Islam sebenar adalah menepati selera rakan kongsi Umno itu.

Tempelakan yang bakal diterima PAS ialah; bukan setakat Umno menolak tetapi rakan kongsi Pakatan juga tidak senada, maka BN akan menggasak isu ketidaksefahaman dalam Pakatan itu selama 40 hari 40 malam. Mudharat politiknya lebih besar, sedangkan hasilnya kerajaan PAS tetap tidak dapat melaksanakan enakmen tersebut kerana peruntukan hukuman yang boleh dilaksanakan peringkat negeri berdasarkan undang-undang Persekutuan yang menaungi; hanyalah maksimum penjara 3 tahun, denda RM3000 dan sebatan 6 kali. Pengalaman di Kelantan dan Terengganu telah membuktikan bahawa BN sekali-kali tidak akan membenarkan perlaksanaan undang-undang syariah Islam yang sebenar.

Ada hujah mempertahankan Umno, bahawa sekurang-kurang mereka melaksanakan juga hukuman terhadap jenayah syariah sekalipun tidak menepati syariah. Analognya mudah, kewajipan menunaikan haji di Mekah hanya apabila berkemampuan. Bagaimana jika seseorang tidak berkemampuan hanya  menunaikan haji di India, hujahnya 'sekurang-kurangnya aku buat juga haji sekadar kemampuan yang ada... setakat India'. Tolong betulkan jika tamsilan saya silap.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...