TERKINI :

Saturday, September 28, 2013

SPRM belanja RM1 juta semasa PRU, tapi tujuh kes sahaja disiasat?

OLEH MD IZWAN
September 28, 2013

http://www.kaingaran.com/wp-content/uploads/2012/12/SPRM-SPR-Politik-660x330.jpg
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibidas DAP kerana mendapat peruntukan sebanyak RM1 juta tetapi hanya tujuh kes disiasat semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu, serta mendesak untuk tampil telus membuat penjelasan.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching (gambar) dalam satu kenyataan mempertikaikan keupayaan SPRM berbanding dengan kumpulan bebas Pemantau Pilihan Raya Rakyat (Pemantau) yang tidak mendapat sebarang peruntukan tetapi dapat mengesan banyak salahguna kuasa yang berlaku semasa PRU berjalan.

"Ia sangat mengejutkan selepas berbelanja RM1 juta bagi perbelanjaan saraan belanja hidup ke atas pegawainya semasa PRU13, SPRM hanya menemui tujuh kes sahaja yang berkemungkinan melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.

"Berbeza dengan kumpulan Pemantau, yang terdiri daripada Bersih, Mafrel dan Pusat Komas yang menemui lebih tujuh kes meragukan semasa pilihan raya lalu," kata Ahli Parlimen Kulai tersebut dalam satu kenyataan media hari ini.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim semasa sidang Parlimen pada 26 September 2013 memberitahu dewan SPRM telah membelanjakan RM1 juta perbelanjaan sara hidup untuk pegawainya semasa PRU13 lalu.

Menurut Razali lagi, SPRM menerima 82 aduan, bagaimanapun hanya tujuh sahaja yang sedang dalam siasatan ketika ini manakala selebihnya telah diketepikan.

Teo berkata jumlah peruntukan tersebut bukan kecil dan mendesak SPRM menjelaskan secara teliti dan telus mengenainya.

"SPRM perlu memberi penerangan bagaimana RM1 juta ini dibelanjakan, dibelanjakan oleh siapa dan untuk apa.

"Keduanya, selepas membayar banyak untuk pegawai SPRM, pembayar cukai berhak untuk mengetahui apakah yang telah dipantau oleh mereka semasa PRU13 lalu," tegas Teo lagi.

Semasa pilihan raya lalu, Pemantau berjaya memantau 23 kerusi Parlimen semasa hari penamaan calon, 51 kerusi semasa tempoh berkempen dan 87 kerusi semasa hari mengundi.

Sepanjang tempoh tersebut, Pemantau mendapati wujud unsur rasuah melibatkan wang tunai dan pemberian barang-barangan di lima kawasan yang dipantau, 22% semasa hari penamaan calon.

Semasa tempoh berkempen, hampir setengah daripada kawasan yang dipantau (23 atau 45%) mendapati wang telah diberikan di 19 kawasan (37%), manakala semasa hari mengundi kumpulan tersebut melaporkan wujud unsur rasuah di 16 kawasan yang dipantau (18%).

"Ia tidak masuk akal setakat ini SPRM hanya menemui 7 pelanggaran kesalahan pilihan raya yang berpotensi," kecam Teo lagi.

Baru-baru ini, Tribunal Rakyat selesai bersidang membuat rumusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal melaksanakan PRU13 dengan bersih dan adil.

Ketua Pasukan Perundangan tribunal berkenaan, Professor Gurdial Singh Nijar ketika membentangkan laporan tribunal berkenaan berkata kebanyakan isu yang ditimbulkan semasa dan selepas pilihan raya pada 5 Mei lalu juga gagal di uruskan dengan baik oleh pengendali pilihan raya berkenaan. – 28 September, 2013.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...