TERKINI :

Thursday, September 26, 2013

Rasuah bolasepak; bila nak tangkap jerung?

Hambali Akram,

Kes yang menimpa pasukan bola sepak Perak baru-baru ini menunjukkan bahawa rasuah bola sepak di Malaysia masih di takuk lama. Kejadian ini benar-benar menyedihkan. Patutlah bola sepak Malaysia masih gagal menyaingi kehebatan sukan ini era 80-an dulu.

Bagi saya, untuk menyalahkan pemain seratus-peratus tentulah tidak wajar. Jika tidak ada penawaran tentu tiada penerimaan. Dalam hal ini kedua-dua pihak iaitu perasuah dan penerima rasuah wajar dihukum.

Yang berlaku sekarang ialah hanya pemain yang dikenakan tindakan sedangkan pemberi rasuah terus bebas di luar sana. Oleh itu, walaupun pemain bola sepak bertukar generasi, pemberi rasuah mungkin masih orang yang sama.

Sebagai salah seorang peminat bola sepak, tentunya saya tidak mahu bencana rasuah yang pernah melanda Malaysia pada era 90-an berulang kembali. Sewajarnya Persatuan Bola Sepak Malaysia dan persatuan negeri belajar daripada pengalaman pahit itu untuk membendungnya.

Suatu perkara yang amat wajar diberi perhatian ialah masalah gaji pemain. Sesetengah persatuan atau kelab menghadapi masalah untuk membayar gaji pemainnya sedangkan pemain ada tanggungjawab yang perlu dilangsaikan. Faktor ini boleh menjadi salah satu faktor mendorong pemain menerima rasuah.

Sepatutnya, dalam suasana bola sepak yang semakin matang tahap profesionalisme, tahap pengurusan kelab juga semakin lebih baik. Jika perkara asas ini dapat diselesaikan, sebahagian daripada ruang untuk rasuah dapat ditutup.

Selain itu, sehingga kini tiada “jerung rasuah” yang telah dikenakan hukuman sebagaimana pemain. Selagi jerung ini bebas lepas, mangsanya sentiasa terdedah kepada bahaya. Saya bimbang, jika masalah jerung rasuah ini tidak dapat diatasi, kelesuan bola sepak Malaysia akan berterusan dan sampai bila-bila pun peminat bola sepak Malaysia kempunan untuk melihat pasukan negara beraksi di Piala Dunia.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...