TERKINI :

Thursday, September 19, 2013

Muhyidin “tangguk di air keruh” tetapi “gendang tidak bersambut”


OLEH THE MALAYSIAN INSIDER


Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin (gambar) mengajak PAS bekerjasama dengan Umno umpama "menangguk di air keruh" ketika PAS kecoh dengan 'tahalul siasi'.

Namun kali ini ia umpama 'gendang tidak bersambut' sahaja kerana masing-masing matang berpolitik selepas taktik yang sama sudah beberapa kali digunakan.

Tidak ada mana-mana pihak dalam PAS membuat kenyataan positif mengenainya melainkan pandangan daripada pihak yang pro-Umno sahaja.

"Tujuannya untuk mengucarkacirkan PAS dan hubungan PAS dengan Pakatan bukan untuk kepentingan Melayu atau Islam," kata Datuk Zaid Ibrahim, bekas menteri dalam kerajaan BN pimpinan Umno ketika mengulas cadangan Muhyidin itu.

Pandangan Zaid sangat relevan kerana beliau sudah 23 tahun aktif dalam Umno dan pernah menyertai PKR dan bekerjasama dengan PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

"Kini saya pencen politik," kata Zaid dalam wawancara khas dengan The Malaysian Insider di rumahnya semalam.

Sebelum ini, ketika berdialog dengan pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk PAS untuk mengukuhkan perpaduan umat Islam di negara ini.

Katanya, memang ada gesaan daripada masyarakat Islam dan pemimpin tempatan meminta kerajaan bekerjasama dengan semua dengan mengetepikan fahaman politik demi masa depan ummah.

“Ada juga permintaan supaya Umno dan PAS bekerjasama. Kita tiada masalah ke arah itu (perpaduan ummah),” katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib mencadangkan supaya PAS mengkaji balik tahaluf siasi (kerjasama politik) dengan Pakatan Rakyat khasnya PKR ekoran penguncutan sokongan pengundi Melayu kepada parti Islam itu.

Cadangan itu kemudiannya dijadikan resolusi dalam Multaqa Ulama Se-Malaysian anjuran Dewan Ulama PAS di Kedah.

Namun, PAS secara tegas menolak untuk keluar dari Pakatan bahkan akan mengukuhkan kerjasamanya dengan parti dalam Pakatan Rakyat.

Ia disuarakan oleh Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan juga Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sidang media yang dibuat Abdul Hadi selepas mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat kelmarin juga menegaskan pendirian yang sama.

Selepas pilihan raya umum 2008, perbezaan pendapat besar berlaku dalam PAS ekoran ada sesetengah pemimpinnya yang mahu bekerjasama dengan Umno dan meninggalkan Pakatan.

Berikutan itu, dua pemimpin kanan PAS menjadi mangsa iaitu Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat daripada PAS dan Nasharudin Mat Isa yang dikeluarkan daripada Majlis Syura Ulama.

Menjelang Muktamar PAS ke 59, 22 hingga 24 November ini di Shah Alam, pihak mana pula yang menjadi mangsanya? – 19 September, 2013.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...