Azizan 
 Dari kiri: Fadzil dan Azizan.

ALOR SETAR - Allahyarham bekas Presiden Pas, Datuk Fadzil Mohd Noor dan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak mempunyai banyak persamaan walaupun pendekatan mereka berbeza.

Bekas Speaker Dun Kedah, Datuk Dr Abd Isa Ismail berkata, selain menerajui Pas Kedah pada era masing-masing, kedua-dua pemimpin itu banyak menyumbang kepada pembangunan parti.

“Mereka adalah golongan ulama dalam parti, selain mempunyai latar belakang dalam dunia pendidikan. Mereka adalah pendidik di mana Allahyarham Fadzil bekas pensyarah di UTM, manakala Azizan di UKM,” katanya.

Abd Isa yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kubang Pasu berkata, kedua-duanya juga melanjutkan pengajian di Mesir namun hanya Azizan menyambung pengajian di United Kingdom selepas itu.
“Mereka bagaikan abang dan adik yang juga merupakan tokoh agamawan. Mereka ibarat saling memerlukan dan mempunyai impian yang sama, untuk membangunkan ummah dan parti,” katanya.

Malah, kehidupan seharian pemimpin ulung ini amat sederhana umpama rakyat biasa, tanpa diulit kemewahan dan status.

Abd Isa berkata, yang membezakan mereka hanya pendekatan yang dibawa dalam memimpin parti dan negeri.

“Perwatakan dan pendekatan Azizan lebih tegas berbanding Fadzil yang bersikap lemah lembut. Ketegasan Azizan juga menyebabkan beliau serius dalam kerja manakala Fadzil lebih suka mendengar pandangan dan tidak beri komen secara terbuka,” katanya.

Namun, katanya, resipi yang digunakan mereka itu berjaya mencapai matlamat dalam perjuangan Pas Kedah yang dilihat bangkit tahun demi tahun.

Pada PRU 1995, hanya dua kerusi dimenangi Pas Kedah iaitu Dun Bukit Raya (Tokai) dan Dun Sala (Sungai Limau), seterusnya menyaksikan hanya dua wakil rakyat Pas dalam Sidang Dun Kedah, berdepan dengan 34 Adun BN.

Azizan menang di Sala manakala Fadzil di Bukit Raya.

Hanya dua pemimpin Pas bergelar Yang Berhormat ketika itu.

Kelmarin, kedua-dua pemimpin tersohor ini disemadikan berhampiran, di Tanah Perkuburan Muassasah Darul Ulum, yang cukup sinonim dengan mereka.

Abd Isa turut menyifatkan lautan manusia ketika majlis pengebumian Azizan seolah-olah nostalgia mengingati semula pemergian Fadzil pada 2002, iaitu hampir sedekad lamanya.

“Suasana hampir sama kerana ribuan manusia datang menziarahi sama ada kawan mahupun lawan. Saya akui. selepas Fadzil, baru kali inilah senario itu berulang,” katanya.

Azizan dikatakan menjadi tunjang utama Pas Kedah selepas pemergian Fadzil.

Azizan mula menyertai Pas pada 1978 di England.

Pada 1986 beliau bergiat aktif dengan Pas di Malaysia.

Beliau juga pernah dilantik Naib Presiden Pas (2003-2005), Ketua Penerangan Pas Pusat (2001-2003), Ahli Majlis Syura Ulama Pas (1991 hingga kini), Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat (1993 hingga kini) serta Pesuruhjaya Pas Kedah (2000 hingga 2013).