http://1-ps.googleusercontent.com/x/www.malaysiakini.com/mk-cdn.mkini.net/677/470x275x4da5cfeaa189a8ccd509974fb33e3459.jpg.pagespeed.ic.zGg_GcF0QV.jpg

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak pernah bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad selepas beberapa minggu menjawat jawatan itu.

Isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali berkata, ketika itu Azizan mengunjungi Mahathir bagi mendapatkan pendapatnya berhubung pembangunan Kedah seawal pengambil alihan pentadbiranya selepas Pas memenangi PRU12, 2008 lalu.

Pertemuan itu diadakan di rumah mereka di The Mines, Seri Kembangan.

Siti Hasmah berkata, ketika pertemuan itu beliau turut bersama kerana ketika itu bukanlah satu kunjungan rasmi tetapi sekadar bertukar pandangan dan pendapat sebagai kenalan lama.

“Saya masih ingat dia tanya Mahathir, bagaimana hendak majukan Kedah ketika itu”, katanya.

Siti Hasmah berkata, Mahathir dalam nada bergurau menjawab, “kalau bagi tau formula menawan hati rakyat Kedah, bagaimana nanti nak menangkan BN semula”.
“Bagaimanapun perbualan lanjut mereka saya tidak saya ketahui.

Saya bersama mereka sekejap sahaja ketika minum air petang itu,” katanya.

Perkara berkenaan didedahkan Siti Hasmah dalam pertemuannya bersama dengan Sinar Harian di pejabatnya Kompleks Yayasan Al-Bukhary, semalam.

Menceritakan kembali kematian Azizan, Siti Hasmah berkata, dia terkejut dengan perkara itu kelmarin selepas diberitahu anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Menteri Besar Kedah.

“Saya dah rancang dengan Mahathir, apabila ada program di Kedah akan menziarahi arwah di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

“Tetapi saya dimaklumkan dengan berita sedih ini, lalu saya terus ajak Tun Mahathir menziarahi jenazah segera,” katanya.