TERKINI :

Wednesday, September 25, 2013

Analisis Terkini Pemilihan PAS


Menjelang Muktamar PAS ke-59, belajar daripada kekalahan mereka pada muktamar ke-57 lalu, ulama PAS kali ini lebih bersedia untuk memastikan calon mereka mendapat kedudukan lebih baik.

Untuk itu, usaha sedang dibuat bagi memastikan calon mereka akan berhadapan satu lawan satu dengan calon bukan ulama khasnya untuk kerusi timbalan presiden.

Inilah pandangan blogger yang juga penganalisis politik Melayu, Mohd Sayuti Omar.Fakta hampir keseluruhan tokoh utama kepimpinan PAS kini dikuasai bukan ulama, kecuali presiden, tidak disenangi ulama kerana parti itu sendiri mengamalkan konsep kepimpinan ulama.

Dalam muktamar ke-57 lalu, semua calon ulama tewas untuk jawatan timbalan presiden dan ketiga-tiga kerusi naib presiden.Mohamad Sabu mendapat 420 undi mengalahkan dua calon ulama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (399 undi) dan Nasharuddin Mat Isa (224 undi).


Sementara Idris Ahmad yang mewakili ulama juga tewas di kerusi naib presiden. Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar (ketiga-tiganya bukan ulama) pula menang kerusi naib presiden.

Bagi muktamar kali ini, pada peringkat awalnya, nama Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dicalonkan ulama untuk berhadapan dengan Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu.

Nik Mohd Amar mendapat pencalonan pertama untuk timbalan presiden dari Besut, Terengganu.Bagi Sayuti, Nik Mohd Amar bukan calon akhir, ia hanya permulaan sahaja.

Ia bergantung kepada siapakah calon yang paling popular di kalangan ulama.Jika seorang lagi calon ulama iaitu Tuan Ibrahim mendapat pencalonan yang lebih tinggi daripada Nik Amar, maka ketua penerangan PAS itu akan dipilih mewakili ulama.

Inilah strategi dan pendekatan bagi memastikan kerusi timbalan presiden dimenangi oleh golongan ulama sebagaimana yang diputuskan oleh Multaqa Ulama Se-Malaysia yang dianjurkan oleh Dewan Ulama PAS di Alor Setar baru-baru ini.

Dalam multaqa itu, dua resolusi penting yang dibuat. Mengkaji semula tahaluf siasi (kerjasama politik) dengan Pakatan Rakyat (PR) khasnya PKR dan mencadangkan kedua-dua jawatan utama, presiden dan timbalan presiden daripada kalangan ulama.

Semasa Muktamar PAS ke-57 dahulu, ramai beranggapan Mohamad menang sebagai timbalan presiden kerana berlaku perpecahan undi di kalangan ulama.Belajar daripada kekalahan inilah, ulama dikatakan akan memastikan hanya satu calon sahaja bertanding kali ini untuk jawatan itu.

"Saya yakin, Tuan Ibrahim mempunyai peluang paling cerah untuk menang jika strategi ini dilakukan," kata Sayuti.Ketika Mohamad menegaskan beberapa kali beliau akan mempertahankan jawatannya, nama Husam yang paling banyak mendapat pencalonan untuk jawatan timbalan presiden pada ketika ini.

Empat pencalonan untuk bekas Exco Kelantan itu datang dari Segamat (Johor), Shah Alam (Selangor), Lembah Pantai (Wilayah Persekutuan) dan Kota Bharu (Kelantan).

Apakah golongan bukan ulama yang digelar kumpulan Edorgan juga akan melakukan pendekatan yang sama dengan meletakkan satu calon mereka bagi jawatan timbalan presiden?Masih belum ada sebarang usaha ke arah itu boleh dikesan hingga kini.

Tokoh kumpulan ini kelihatan lebih berminat untuk tidak memperkatakannya, berbanding kumpulan ulama menjelang muktamar ke 58 kali ini. ~the malaysia today

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...