Warga emas cekal cari rezeki sekolahkan anak 
Pak Long K tekun menyiapkan atap nipah.
Sik - Hendak seribu daya, Malik Darus, 76, atau lebih dikenali sebagai Pak Long K dari Kampung Parit, Jeneri di sini cekal mencari nafkah sampingan dengan membuat atap dari daun rumbia ataupun nipah.

Biarpun pendapatan tidak seberapa, namun di usia emas hanya itu mampu dilakukannya untuk menyara seorang lagi anak bongsunya yang masih bersekolah.

Menurutnya, dengan basikal tua miliknya dia mengangkut daun nipah yang diambil dari pelosok kampung.

“Saya buat atap rumbia ini ikut tempahan, tiap keping saya jual dengan harga RM2.50. Namun kini permintaannya makin kurang. Atap rumbia tak dijual kini tersadai di bawah rumah menunggu reput.

“Mujur isteri saya menoreh getah, jadi sedikit sebanyak dapat tampung perbelanjaan kami biarpun pendapatan menoreh getah RM300 sebulan.
“Selain itu saya turut mendapat bantuan bulanan sebanyak RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, duit itulah saya gunakan untuk perbelanjaan anak sekolah,” katanya ketika ditemui.

Malik berkata, anak bongsunya yang bernama Rosnah kini di tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Sulong, Jeniang sedang menunggu kemasukan ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) setelah mendapat keputusan cemerlang 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya, dia gusar memikirkan jalan mencari wang bagi membiayai pengajian anaknya di IPTA nanti disebabkan pendapatannya tidak menentu.

“Saya ada dua anak dengan isteri pertama, selepas isteri pertama meninggal dunia saya berkahwin dengan isteri sekarang dan mempunyai tiga anak tapi mereka semuanya bekerja di kampung dan hanya mampu menyara diri dan keluarga mereka.

“Dalam serba kekurangan ini saya lakukan apa saja kerja yang boleh menampung hidup kami. Masalahnya kudrat saya tak kuat macam dulu untuk saya melakukan kerja-kerja berat seperti menoreh getah ataupun berkebun,” katanya.

Sementara itu, isteri Pak Long K, Zainab Bedun, 53, berkata, dia sudah biasa hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Sejak berkahwin 30 tahun lalu dengan Pak Long saya bahagia walaupun tinggal di rumah papan yang usang ini. Pasal  makan minum pula kami akan makan apa saja walaupun berlauk ulam-ulaman. Alhamdulillah anak-anak tak pernah merungut.

“Saya harap anak bongsu saya dapat mengubah kehidupan kami lepas ini. Jika dia ditawarkan ke IPT saya dan suami akan berusaha untuk mencari wang sehingga dia berjaya dan mendapat kerja yang baik,” katanya.