Khalid Abu Bakar  
Khalid Abu Bakar
GEORGETOWN - Polis hari ini menembak mati lima anggota kumpulan kongsi gelap dipercayai pembunuh upahan yang dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes bunuh dan cubaan bunuh di Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis percaya turut terbunuh dalam kejadian berbalas tembak di sebuah pangsapuri di Sungai Nibong di sini pada pukul 4.30 pagi ini ialah ketua kumpulan itu.

Beliau berkata berikutan kejadian itu polis percaya berjaya menumpaskan geng kongsi gelap yang aktif membunuh dan melakukan beberapa jenayah membabitkan senjata api.

"Hasil pemeriksaan ke atas tiga senjata api yang dirampas dalam operasi itu, kami berjaya menyelesaikan 10 kes bunuh dan dua cubaan membunuh di tiga negeri berkenaan, tujuh daripadanya kes bunuh dan dua cubaan bunuh di Pulau Pinang.
"Dua lagi kes bunuh di Kedah dan satu kes bunuh di Negeri Sembilan. Semua kes itu berlaku sejak tahun lepas termasuk yang terbaru di negeri ini (Pulau Pinang)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang, di sini hari ini.

Dalam kejadian itu sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bahagian Siasatan Khas (D9) Pulau Pinang dengan bantuan JSJ D9 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman serta D9 Kedah menyerbu apartmen berkenaan.

Berlaku tembak menembak antara polis dan lima lelaki yang berusia 23 hingga 27 tahun itu mengakibatkan semua penjenayah terbabit mati.

Polis menemui tiga pucuk pistol yang digunakan penjenayah terbabit iaitu Norinco berwarna perak, Revolver .38 berwarna perak dan Walther PPK berwarna hitam.

Khalid berkata pihaknya sedang mengesan beberapa lagi anggota kumpulan kongsi gelap itu yang dipercayai turut terlibat kes bunuh serta tembak.

"Kumpulan itu bergerak mengikut arahan ketua dan sasaran yang mereka nak cari (bunuh atau tembak) serta tidak tinggal di satu tempat sahaja bagi mengelak dikesan polis," katanya.

Katanya pihaknya telah lama memantau kumpulan itu sejak beberapa bulan lepas dan tidak hanya berdiam diri apabila berlaku sesuatu kes melibatkan pembunuhan atau tembakan.

"Kita tidak pernah berdiam diri apabila berlaku sesuatu kes melibatkan pembunuhan atau tembakan, satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat semua kes berkenaan (bunuh atau tembakan). Mereka jalankan siasatan dan kumpul risikan, ini merupakan hasil kejayaannya," katanya.

Kepada soalan motif mereka menjalankan kegiatan pembunuhan itu, Khalid berkata berdasarkan siasatan kumpulan itu menerima upah untuk membunuh atau menembak mangsa mereka.

"Tetapi ada juga beberapa kes bunuh atau tembak yang bermotifkan balas dendam dan pelbagai lagi (motif). Ia bergantung kepada sasaran mereka," katanya.

Beliau berkata empat daripada lima yang ditembak mati itu mempunyai beberapa rekod jenayah lampau. - Bernama