TERKINI :

Friday, August 23, 2013

PAS Kelantan gagal pertahan kuasa dalam PRU-14 !!!

oleh - Abu Mujtahid

http://mole.my/sites/default/files/images/mole-Datuk-Ahmad-Yaakob-and-Datuk-Amar-Nik-Abdullah-Pas-Kelantan_0.jpg

Bunyinya agak menakutkan tetapi malang bagi PAS yang memerintah dan mentadbir Kelantan sejak PRU 1990 lagi iaitu lebih kurang 23 tahun lalu jika topik ini menjadi berita utama akhbar sehari selepas PRU ke-14 negara. PAS seharusnya tidak melupakan sikap dan kelakuan pengundian rakyat Kelantan yang unik dan tersendiri dalam memilih parti yang akan mentadbir mereka.

Jika disoroti daripada perspektif sejarah, rakyat Kelantan memilih PAS semasa PRU 1959 lagi. PRU yang pertama selepas negara mencapai kemerdekaan tatkala hampir keseluruhan rakyat di negeri-negeri lain (kecuali Terengganu) memilih Perikatan sebagai kerajaan negeri. Rakyat Kelantan sanggup menjadikan PAS sebagai kerajaan negeri walaupun menyedari aspek pemodenan, kemajuan negeri, kesejahteraan rakyat melalui projek pembangunan seharusnya menjadi keutamaan pada masa itu.

PAS terus memerintah Kelantan selepas PRU 1964, 1969, 1974 (menyertai BN) namun tewas pada PRU 1978. Apakah yang berlaku pada masa itu menyebabkan PAS hilang kuasa pada pilihan raya 1978? Adakah dengan kekuatan yang ada pada BN semata-mata atau pun berlaku kelemahan yang nyata pada PAS? Jawapan yang kedua adalah lebih dominan yang menjadi punca kejatuhan kerajaan PAS.

Titik tolak bermula apabila berlaku ‘perang dingin’ dalam PAS selepas Muhammad Nasir dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan mengenepikan Wan Ismail Ibrahim yang menjadi calon pilihan utama PAS. Muhammad Nasir dilihat bukan daripada kem Mohd Asri Muda yang ketika itu Yang Dipertua PAS Pusat dan tidak mendapat perhatian utama daripada PAS Kelantan. Walaupun Muhammad Nasir adalah Menteri Besar Kelantan namun beliau tidak dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan. Beliau hanya berkuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri tetapi tidak berkuasa dalam partinya sendiri.

Secara halusnya, Muhammad Nasir dijauhkan dalam pentadbiran PAS sedangkan pada masa sama beliau harus menunaikan tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar kepada rakyat Kelantan. Setelah itu berlaku peristiwa demi peristiwa sehinggakan DUN Kelantan mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Muhammad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1977. Rentetan itu berlaku rusuhan di Kelantan menyebabkan kerajaan Pusat mengisytiharkan darurat dan kesan paling besar adalah tersingkirnya PAS daripada BN.

Setelah itu berlaku PRU 1978 dan Muhammad Nasir yang disingkirkan daripada PAS menubuhkan parti BERJASA untuk berhadapan secara langsung dengan PAS. Secara nyatanya ini akan meninggalkan Umno tanpa disaingi parti utama dalam pilihan raya tahun itu. Namun, BERJASA belum lagi diserap sebagai parti yang menjadi sebahagian daripada komponen BN. Dalam pilihan raya 1978, BERJASA bertanding di 25 kawasan DUN dan bertembung satu sama satu dengan PAS di 11 kawasan DUN.

Agak menarik kerana 11 kawasan itu adalah kubu kuat PAS seperti Simpangan, Kemumin, Sering, Tendong, Meranti, Kubang Kerian, Tawang, Perupok, Lemal, Salor dan Peringat. Dalam PRU 1978 juga berlaku pertandingan tiga dan empat penjuru membabitkan BN, BERJASA, PAS dan Bebas di 16 kerusi DUN yang semua parti mempunyai peluang sama rata untuk menang kecuali Bebas yang dikira tidak mempunyai peluang untuk menang. Pertandingan sebenar akan berlaku antara PAS dan BERJASA yang menyebabkan undi terbahagi kepada dua parti tersebut.

Ini meninggalkan Umno untuk meraih undi yang lebih tinggi berbanding PAS dan BERJASA. Selain itu, Umno berhadapan satu lawan satu dengan PAS di sembilan kerusi DUN yang dikatakan selamat untuk Umno iaitu Sungai Pinang, Wakaf Baharu, Sungai Keladi, Jelawat, Gual Periuk, Ketereh, Pahi, Gua Musang dan Manek Urai. Perkiraan awal adalah BERJASA akan menang di 11 buah kerusi, Umno menguasai lebih 20 kerusi sementara selebihnya akan dimenangi oleh PAS. Ini menyebabkan Umno akan mempunyai paling banyak kerusi dan akan membentuk kerajaan di Kelantan dibantu oleh BERJASA. Umno juga boleh melantik Menteri Besar Kelantan dalam kalangan ahli mereka dan mempunyai kuasa penuh untuk mentadbir Kelantan.

Keputusan sebenar pilihan raya DUN pada 11 Mac 1978, memperlihatkan Umno/BN menang di 23 kerusi DUN (termasuk seorang calon MCA) daripada 24 kerusi yang mereka tandingi sementara PAS hanya menang di dua kerusi berbanding 36 kerusi yang mereka tandingi. Bagi BERJASA, mereka menang di 11 kerusi daripada 25 kerusi ditandingi. Keputusan pilihan raya ini menepati strategi yang dirancang Umno.

PAS berjaya dikalahkan oleh Umno dengan bantuan BERJASA dan pada masa sama BERJASA tidak dapat membentuk kerajaan di Kelantan kerana tidak mempunyai bilangan kerusi majoriti. Sebaliknya Umno yang mempunyai bilangan kerusi majoriti dapat membentuk kerajaan Kelantan dan bermula pemerintahan Umno di Kelantan buat pertama kali sejak negara mencapai kemerdekaan.

Pihak yang untung adalah Umno manakala kedua-kedua parti PAS dan BERJASA hanya setakat memenuhi kouta ahli DUN Kelantan sahaja. Umumnya sokongan rakyat Kelantan yang majoritinya etnik Melayu adalah sama ada kepada dua parti Melayu paling signifikan iaitu Umno dan PAS. Salah satu parti menghadapi konflik dan krisis dalaman akan mengakibatkan parti satu lagi mendapat kejayaan. Ini dibuktikan pada PRU 1978 di Kelantan.

Mengapa pula kerajaan Umno/BN kalah dalam PRU 1990? Sekali lagi diakibatkan oleh krisis dalaman yang pada kali ini berlaku dalam Umno. Tengku Razaleigh yang juga pemimpin Umno Kelatan mencabar Dr Mahathir Mohammad dalam pertandingan merebut jawatan Presiden Umno pada 1987. Keputusan Tengku Razaleigh menambahkan kekusutan Umno Kelantan.

Keputusan beliau mendapat sokongan penuh sebahagian besar Ketua Umno Bahagian di Kelantan yang juga membuktikan beliau masih lagi berpengaruh dalam Umno negeri. Ini meletakkan Menteri Besar Kelantan pada masa itu, Mohammad Yaakob dalam dilema kerana sekiranya beliau menyokong Tengku Razaleigh secara langung akan membawa maksud beliau menentang kepimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohammad yang melantik beliau sebagai Menteri Besar Kelantan.

Sokongan kepada Perdana Menteri juga bermakna beliau memilih untuk berlainan pendapat dengan sebahagian besar Ketua Bahagian Umno Kelantan. Malangnya pilihan Mohammad Yaakub untuk menyebelahi Mahathir meletakkan beliau dalam keadaan tertekan apabila kehilangan sokongan dan perasaan hormat ahli Umno Kelantan. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Tengku Razaleigh kalah dalam pemilihan itu dan sebahagian kemarahan dikaitkan dengan peranan yang dimainkan oleh Mohammad Yaakub.

Dengan kekalahan ini, Tengku Razaleigh membuat keputusan keluar daripada Umno. Beberapa pengikut Tengku Razaleigh yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan Umno pada 1987 mencabar perkara itu di mahkamah yang membuat keputusan kontroversi pengharaman parti Umno.

Mahathir pula mengambil langkah untuk mendaftarkan semula Umno yang kemudiannya dikenali sebagai Umno (Baru). Sebaliknya Tengku Razaleigh pula mengusahakan penubuhan parti baru yang di namakan sebagai Parti Melayu Semangat 46 (S46). Dengan ini Umno Kelantan berpecah kepada dua kumpulan, Umno (Baru) diketuai Mohammad Yaakub sementara S46 dipimpin Tengku Razaleigh.

Penubuhan parti S46 memulakan episod baru dalam politik negara khususnya di Kelantan. Dengan kedudukan parti itu yang berada di luar BN dan menjadi parti pembangkang, kedudukan kerajaan Umno Kelantan berada dalam bahaya. Tambahan pula dalam beberapa siri pilihan raya kecil selepas pilihan raya 1986 dan peristiwa pemilihan Umno 1987, S46 sudah mula mengadakan persefahaman dengan PAS. Kerjasama ini disambut baik oleh PAS termasuk PAS Kelantan yang tidak dipengaruhi sentimen anti Tengku Razaleigh yang juga pendukung utama kekalahan PAS di Kelantan pada pilihan raya 1978 lalu.

Seterusnya kerjasama ini membuahkan hasil apabila terbentuk gabungan politik Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang disertai bersama oleh PAS, S46, BERJASA dan HAMIM. Pembentukan pakatan politik APU ini menyebabkan Umno bersendirian setelah BERJASA dan HAMIM bertindak keluar daripada komponen BN.

Secara moralnya Umno kehilangan sokongan dan sebaliknya sokongan bertumpu kepada APU. Dalam keadaan yang demikian berlangsung pilihan raya 1990. BN/Umno meletakkan calon bagi 39 kerusi DUN dan buat pertama kali APU menyertai pilihan raya dengan PAS bertanding 24 kerusi, S46 meletakan calon di 14 kerusi dan BERJASA bertanding untuk satu kerusi sahaja.

Dalam PRU 1990 ini, BN/Umno kalah di semua kerusi DUN yang mereka tandingi sebaliknya PAS menang di 24 kerusi, diikuti S46 menguasai 14 kerusi dan BERJASA menang di satu kerusi tunggal yang mereka tandingi. Dengan keputusan ini maka berakhir tampuk pemerintahan Umno di Kelantan selepas berkuasa selama 12 tahun dan pentadbiran Kelantan dikuasai semula oleh PAS yang menjadi teraju utama dalam APU. Jelasnya Umno juga mengakhiri tempoh pemerintahan mereka di Kelantan atas sebab dan alasan sama iaitu perpecahan dan konflik dalaman yang berlaku dalam parti.

Apakah situasi kerajaan PAS Kelantan sekarang? Makin stabil, bertambah kuat atau mula kelihatan bibit keretakan yang akan menjadi bertambah runcing daripada masa ke semasa? Apakah ahli dan pemimpin PAS tidak mahu mengambil pengajaran selepas daripada PRU 1974 lalu? PAS masih lagi memerintah Kelantan selepas PRU 1974 namun hanya empat tahun selepas itu pada PRU 1978, PAS hilang kuasa. Adakah dalam tempoh masa yang sama iaitu empat tahun selepas daripada PRU ke-13, 2013 iaitu tahun 2017 dalam PRU ke-14, PAS akan kehilangan kuasa pemerintahan di Kelantan? Pihak manakah yang akan mengambil pengajaran daripada sejarah sosio-politik pilihan raya lampau di Kelantan? – 23 Ogos, 2013.

* Abu Mujtahid ialah peminat tegar politik Kelantan.

3 comments:

budakmin said...

kaloh pas tak apo boh, sbb bunyi khabar tanah 3000 ekar pakat bagi dah, kila hok dok sokong ni jong gila babi. brpa jah gaji yb berbanding dgn nilai tanah tu.... makanlah puak demo tobat lillah aku tak halal

Putra IJ80 said...

Ini ada lah perancangan halus yg telah di susun rapi dan ia nya hanya menunggu Bila TGNA bersara .,utk mengembalikan BN ke Negeri Kelantan.

Mereka mereka yang di angkat selepas ketiadaan TGNA sudah di didik bagi tujuan itu...

JELAS slps TGNA tidak lagi menjadi MB PAS kelantan bermasaalah atas hal hal yg x sepatutnya begitu terutama menidakan peranan Husam Musa yg.begitu popular di kalangan org.Muda Kelantan..,dan sikap MB bersama Jemaah nya yg.ketandusan idea menjana perubahan.

Kalau dlm PRU14 PAS kalah di Kelantan kita tidak perlu bersedih kerana ia telah di rancang jadi begitu.

Wallahu'alam.

bat8 said...

Tuan,

Aku bersetuju dengan abu mujtahid. Kerajaan PAS Kelantan pasca TGNA sudah menunjukkan ciri-ciri akan dihukum oleh rakyat Kelantan dalam PRU 14 nanti.

Perlu kita tahu bahawa orang kelantan begitu pragmatik dalam politik. Kedua-dua parti, PAS dan UMNO pernah dinyah turun dari menerajui kerajaan negeri APABILA MULA BESAR KEPALA, BERPUAK-PUAK DAN SALING MENINDAS ANTARA SATU SAMA LAIN. Mereka sebok dok jaga kedudukan masng-masing dan mula mengkhianati mandat rakyat.

Itulah punca kejatuhan kerajaan PAS tahun 1978 dan UMNO dalam PRU 1990. ORANG KELANTN TIDAK TAKSUB KEPADA MANA-MANA PARTI: BAIK PAS ATAU UMNO!

Bagi kerajaan PAS Kelantan pasca TGNA, dua watak yang akan membawa padah kepada PAS ialah Dato Menteri Besar dan TMB, Nik Amar! Dato MB seperti biasanya terlalu lmbut dan tidak mampu bertegas untuk menyelamatkan PAS Kelantan. Nik Amar dengan perangai bengisnya dan kelemahan pengurusan moden akan menjahanankan kredibiliti kerajaan PAS Kelantan.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...