TERKINI :

Wednesday, August 28, 2013

Ngap Sayot, Kedah sama handal

Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Kedah mensia-siakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila hanya mencatat keputusan seri 0-0 dengan Sarawak dalam aksi Piala Malaysia Kumpulan D di Stadium Darulaman malam tadi.

Keputusan itu menyebabkan skuad kendalian Datuk Ahmad Shafie itu kekal di tangga ketiga kumpulan dengan tiga mata selepas tiga perlawanan namun saingan dalam kumpulan itu masih terbuka luas.

Kedah tampil agresif di awal permainan apabila mengasak kubu pasukan pelawat menerusi percubaan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-10 namun rembatan derasnya terkena palang ketika penjaga gol Sani Anuar Kamsani sudah pun tertewas.

Sarawak yang mengejutkan pasukan juara Liga Super LionsXII dengan kemenangan 2-1 minggu lalu turut mengancam dengan sepakan kaki kiri pemain import dari Bosnia Muamer Salibasic tapi tersasar di tepi gawang.

Gerakan pemain tengah Mohd Syazwan Zainon dari sebelah kanan hampir membuahkan hasil buat Kedah bagaimanapun hantaran lintangnya gagal digunakan dengan baik oleh Baddrol yang menyepak tinggi melepasi palang pada minit ke-35.

Insiden kontroversi berlaku pada minit ke-39 apabila pemain skuad Hijau Kuning tidak puas hati dengan keputusan pengadil kerana membatalkan gol jaringan Baddrol selepas mendakwa penyerang Kedah Mohd Khyril Muhymeen Zambri terlebih dulu dalam kedudukan ofsaid.

Permainan bertambah rancak pada babak kedua kali ini giliran Sarawak mencipta gerakan menerusi Bobby Gonzales yang menerima hantaran Junior Eldstal melakukan rembatan terkena tiang gol dan penyerang berusia 29 tahun itu kemudian cuba menanduk bola lantunan itu namun tandukannya tidak tepat ke sasaran biarpun gawang sudah terbuka.

Hasrat Sarawak membawa pulang tiga mata tidak kesampaian apabila sepakan pemain tengah Joseph Kallang sedikit tersasar pada minit ke-82 menjadikan kedudukan kekal tanpa jaringan sehingga tamat permainan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...