15 anggota polis ditahan  
Mohd Shukri (dua kanan) bersama-sama Kong Soon (kiri) dan beberapa tetamu khas memotong kek sempena sambutan rumah terbuka sempena Aidilfitri anjuran IPD Kampar, semalam.

KAMPAR - Polis Perak telah menahan 15 anggota dan pegawainya yang disyaki terbabit dengan kes penyalahgunaan dadah di seluruh negeri ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, perbuatan tersebut membabitkan anggota berusia antara 20 hingga 50 tahun dan perbuatan mereka berjaya dikesan melalui siasatan yang dijalankan polis ke atas anggota berkenaan.

Menurutnya, kebanyakan anggota yang ditahan telah dikesan mengambil dadah jenis methaphetamine.

“Pihak kami telah menjalankan ujian saringan air kencing ke atas anggota polis berkenaan dan mereka didapati positif dadah.

“Malah, ada dalam kalangan mereka yang telah didakwa di mahkamah. Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya di sini, semalam.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar dan menghadiri sambutan rumah terbuka sempena Aidilfitri anjuran IPD tersebut.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Superintendan Maszely Minhad dan Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shukri menegaskan akan memantau pergerakan anggota serta pegawainya dari semasa ke semasa bagi mengekang mereka daripada menyalahgunakan kuasa yang diberi.

“Kita memandang serius dakwaan terdapat segelintir anggota polis terbabit dengan kesalahan tatatertib membabitkan penyalahgunaan kuasa sehingga mengambil tindakan sendiri yang tidak menyenangkan masyarakat.

“Berikutan itu, kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota, termasuk pegawainya yang tidak berdisiplin atau terbabit dengan kes jenayah,” jelasnya.