TERKINI :

Tuesday, August 20, 2013

Artikel 88 - Zaman Datuk Azzuddin Ahmad ibarat zaman gelap yang tanpa budi bicara

Perlu ada budi bicara

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

POLEMIK yang tercetus angkara Artikel 88 Statut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilihat belum ternoktah biarpun badan induk itu bersetuju meminda artikel berkenaan selepas ini.

Tatkala FAM dijangka meminda artikel berkenaan selewat-lewatnya bulan depan, bekas Presiden Bola Sepak Perlis (PAFA), Datuk Seri Shahidan Kassim pula dilihat tidak menunggu lama untuk 'bersuara' apabila lantang menggesa badan induk itu supaya menarik semula hukuman terhadap beliau yang didapati bersalah pada 20 Februari lalu.

Biarpun Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan hukuman itu kekal dilaksanakan, Shahidan tetap bertegas supaya hukuman selama dua tahun setengah itu ditarik serta-merta selain denda wang syiling sebanyak RM39,000 yang dibayar PAFA sebelum ini juga dikembalikan.


Pada masa sama, Shahidan juga mengecam bekas Setiausaha Agung FAM sebelum ini, Datuk Azzuddin Ahmad dan mendakwa beliau menyalahgunakan kuasa ketika menggalas jawatan itu dari 2007 hingga Julai tahun ini sehingga ramai yang diheret menjadi 'mangsa' Artikel 88.

Senario itu jelas berbeza berbanding semasa 'zaman' seorang lagi bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Ibrahim Saad sehingga menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan pemerhati bola sepak tempatan.

Mengimbau semula pengalamannya yang pernah menduduki 'kerusi panas' itu selama dua tahun mulai 2005 hingga 2007, Ibrahim memberitahu, ketika itu banyak isu-isu berbangkit diselesaikan secara baik di luar Jawatankuasa Tatatertib FAM.

"Ketika itu, banyak perkara diselesaikan mengikut budi bicara.

"Apa jua kesalahan akan bincang terlebih dahulu di luar Jawatankuasa Tatatertib. Bila kesalahan itu serius barulah tindakan akan diambil," kata Ibrahim kepada Kosmo! semalam.

Semalam, Kosmo! melaporkan saranan Shahidan yang mahu hukuman terhadap beliau dan kesemua yang didapati bersalah oleh Artikel 88 Statut FAM ditarik balik serta-merta.

Ia sejajar dengan keputusan FAM berhubung garis panduan mengenai artikel berkenaan yang akan diperhalusi dan dibentang pada Mesyuarat Eksekutif FAM bulan depan.

Dengan pindaan itu, semua pegawai atau ahli gabungan FAM kini dibenarkan 'bersuara' selepas Kongres FAM bersetuju skop-skop tertentu dalam akta tersebut akan lebih diperluaskan dan persetujuan itu dicapai pada Kongres FAM ke-49 di ibu kota, Sabtu lalu.

Berdasarkan Artikel 88 Statut FAM 2010-2014 sebelum ini, hanya Presiden dan Setiausaha Agung yang dibenarkan mengeluarkan kenyataan media berhubung badan induk itu.

Bagaimanapun, mereka tetap wajib mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan meskipun diberi kebenaran untuk membuat kenyataan kepada pihak media.

Selain Shahidan, antara 'mangsa' yang pernah dihukum di bawah artikel berkenaan sebelum ini termasuklah bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, pindaan artikel berkenaan juga harus selari dengan statut yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Asalkan pindaan Artikel 88 tidak bercanggah dengan Statut FIFA, bagi saya tiada masalah.

"Cuma pandangan saya, dalam setiap undang-undang juga perlu ada budi bicara," jelasnya.

Hakcipta terpelihara

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...