NONE
Kerajaan Kedah akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilaporkan menyiasat kes pecah amanah wang lebih RM2 juta milik syarikat kerajaan negeri (GLC) untuk menaja dana politik pada PRU13 lepas.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang terkejut dengan perkara itu berkata jaminan kerjasama itu bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan menyeluruh dan menghadapkan mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

"Tindakan ini bertujuan menjaga nama baik Kedah," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjujung kasih atas titah Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-13 di Wisma Darul Aman di Alor Setar.

Sebuah GLC di Kedah dilaporkan disiasat oleh SPRM berhubung kes pecah amanah wang berjumlah lebih RM2 juta untuk menaja dana politik pada PRU13 (Pilihan Raya Umum ke-13) membabitkan tiga individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusannya berusia antara 45 tahun hingga 50 tahun.

Mukhriz berkata kerajaan negeri memandang serius kes pecah amanah dan tidak akan berfikir dua kali untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dan berharap pendekatan itu disokong semua pihak termasuk pembangkang.

Di luar dewan selepas itu, beliau memberitahu pemberita kerajaan negeri tidak dimaklumkan oleh SPRM mengenai siasatan tersebut.

"Saya terkejut dengan perkembangan namun akan memberi sokongan penuh kepada SPRM dalam menyiasat kes ini namun kerajaan negeri tidak bercadang membuat siasatan sendiri," tambahnya.

Menurutnya siasatan itu mungkin membabitkan kes pelaburan syarikat Menteri Besar diPerbadankan (MBI) dalam industri pembalakan di Papua new Guinea yang dilaporkan mengalami kerugian berjuta ringgit selepas 2008.

Dewan tamat kira-kira pukul 11 malam dan ditangguhkan selepas bersidang bermula Ahad lepas.

- Bernama