TERKINI :

Saturday, August 17, 2013

Adakah kerajaan Malaysia masih iktiraf Pemerintah Mesir Yang Zalim sehingga saat ini..?


Krisis Mesir: Kerajaan mana harus dirunding?


Oleh: RAZIATUL HANUM A. RAJAK Tarikh: August 17, 2013

SHAH ALAM – Di saat semua pihak masih ternanti-nanti pendirian rasmi kerajaan Malaysia berhubung kekejaman yang berlaku di negara Islam, Mesir, pelbagai cadangan dikemukakan.

DAP menggesa kerajaan supaya segera memanggil sidang khas Parlimen untuk mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman yang dilakukan negara itu terhadap rakyatnya.

Pas pula menyeru komuniti antarabangsa termasuk kerajaan Malaysia supaya melaksanakan langkah drastik terhadap rejim tentera pimpinan Jeneral Abdul Fatah As-Sisi yang merampas kuasa daripada rakyat Mesir itu.


BN melalui Ketua Puterinya pula mencadangkan perbincangan kerajaan dengan kerajaan (Government to Government atau G to G) yang dilihatnya lebih berkesan bagi menyelesaikan krisis di Mesir.

Namun, cadangan G to G itu dipertikai ahli Parlimen PKR, Fuziah Salleh kerana menurutnya tindakan itu seolah-olah mengiktiraf kerajaan Mesir yang ada sekarang ini.

“Kita kena ada pendirian yang kukuh. Kalau G to G, saya persoalkan kerajaan yang mana? Kalau BN kata G to G, maksudnya kerajaan kita dengan kerajaan yang mana?

“Adakah anda akan mengiktiraf kerajaan Mesir yang ada sekarang? Kerajaan yang ada sekarang ini tidak sah, jadi, bagaimana nak buat G to G? Tak mungkin kan? Sebab kerajaan yang sah adalah di bawah pemerintahan Presiden Mursi, yang dipilih oleh rakyat,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Menurutnya, jika Malaysia meneruskan rundingan dengan kerajaan tidak sah Mesir itu, ia menunjukkan bahawa Malaysia juga bersekongkol dengan kezaliman yang sedang berlaku itu.

Beliau berpendapat, rundingan bukan cara terbaik sebaliknya Malaysia perlu menunjukkan pendirian yang lebih keras berhubung isu itu.

“Kalau BN nak buat G to G, dengan cara itu mereka sendiri mengiktiraf kerajaan yang mengambil alih kuasa di Mesir sekarang.

“Dengan kerajaan yang tak sah ini, tak boleh nak runding. Kita kena tunjuk cara yang keras. Mungkin dengan cara menghalau duta mereka keluar, contohnya. Ia menunjukkan kita tak terima perbuatan zalim mereka,” katanya.

Sehingga kini, kerajaan Malaysia masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pendirian terhadap episod duka yang melanda Mesir.

Perdana menteri menyatakan bantahannya terhadap kekejaman di Mesir melalui akaun Facebook dan Twitter beliau.

Keadaan di Mesir semakin memuncak apabila angka korban dilapor mencecah ribuan orang.

Situasi yang disifatkan sebagai pembunuhan kejam secara beramai-ramai itu dikutuk seluruh dunia.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...