TERKINI :

Wednesday, July 17, 2013

Perihal bonus dan harga ayam

Oleh FARUSH KHAN

BULAN puasa atau tidak, duit, bagi ramai orang, tetap menjadi matlamat utama dalam hidup. Kata orang ‘money speaks’. Ada duit, ada kuasa, ada suara.

Menyentuh soal duit, terdapat laporan mengenai isu bonus hari raya untuk kakitangan kerajaan.

Tentu ia menarik minat ramai, apatah lagi Ramadan sudah masuk hari kelapan hari ini (cepatnya waktu berjalan!) dan hanya tinggal tiga minggu lagi untuk umat Islam menyambut Aidilfitri.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman, semalam mengulangi hasrat kesatuan supaya kerajaan memberi bonus setengah bulan kepada semua 1.4 juta penjawat awam sebelum Aidilfitri. Bayaran itu adalah sebahagian daripada jumlah bonus dua bulan setengah yang mereka minta untuk tahun ini.

Bagaimanapun, kerajaan, melalui Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa memberitahu kelmarin, belum ada perbincangan mengenai perkara itu setakat ini.


Terlalu awal untuk bincang perkara itu, katanya.

Tetapi sebagai kerajaan yang diketahui pemurah, permintaan bonus setengah bulan sebelum Aidilfitri itu besar kemungkinan akan dipenuhi.

Memang biasalah, cerita mengenai duit menjadi lebih rancak menjelang Ramadan dan Syawal, sebab itulah musimnya permintaan pengguna bertambah.

Apa yang membimbangkan ialah musim-musim begini dipengaruhi oleh kenaikan harga, tambang, upah dan sebagainya.

Tambang bas ekspres sudah pun naik 10 peratus untuk musim raya ini. Ramai yang lega kerana kenaikan tidak sampai 30 peratus seperti yang dituntut syarikat.

Sekurang-kurangnya banyak pihak yang menerima keputusan itu kerana memahami tuntutan itu wajar dengan kenaikan barang berhubung dengan perkhidmatan bas dan gaji.

Tetapi yang susah untuk difahami dan diterima ialah apabila harga komoditi seperti ayam naik terlalu tinggi, setiap kali tiba Ramadan dan musim perayaan.

Bagaimana harga ayam boleh naik hingga RM9 sekilogram, bahkan RM10 di setengah tempat, walhal harga siling yang ditetapkan hanya RM7.80 sekilo? Seminggu dua sebelum raya, entah sampai mana paras harga ayam akan naik; sangat membimbangkan.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak menolak kemungkinan kenaikan harga makanan ayam menjadi punca harga ayam naik mendadak.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, harga makanan ayam yang diimport dari Australia dan Thailand meningkat dari semasa ke semasa.

Tetapi yang sangat pelik ialah dakwaan setengah pihak bahawa harga ayam naik setiap kali menteri berkaitan kepenggunaan bertukar.

Apa kaitan pertukaran menteri dengan harga ayam?

Banyak persatuan dan pihak berkaitan sudah berulang kali menyuarakan rasa bimbang dan kecewa dengan fenomena kenaikan harga ini, namun harga ayam tetap terus naik menjelang Ramadan dan musim perayaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek mencadangkan supaya pengguna jangan makan ayam jika harga ayam mahal. Sebenarnya apa yang diperlukan ialah tindakan lebih tegas, seperti mengenakan denda berat terhadap mereka yang sengaja menyebabkan harga ayam naik.

Kalau orang tengah yang menjadi penyebab kenaikan harga secara mendadak dan melampau, langkah yang wajar perlu diambil segera bagi menghalang tindakan mereka dan menyekat kenaikan itu.Tetapi cukupkah penguat kuasa?

Natijahnya, ada pihak yang memang cenderung kepada mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlipat-ganda.

Mahu kata ‘menangguk di air keruh’ atau ‘menahan jerat di pergentingan’, terpulanglah, tetapi itulah hakikatnya.

Sebagai contoh, lihat sahaja apa berlaku setiap kali ada pilihan raya. Sewa rumah di kawasan pendalaman yang susah untuk disewakan pada masa biasa pun tiba-tiba melonjak di luar dugaan.

Ketika pilihan raya kecil sekarang, umpamanya, ada tempat yang disewakan pada kadar empat kali ganda dari biasa.

Hanya kerana tahu ramai yang tidak ada banyak pilihan untuk mendapatkan tempat berehat dan tidur, menaikkan sewa ke paras yang tidak masuk akal menjadi amalan sesetengah pihak.

Apakah sikap dan amalan seperti itu dibenarkan agama atau tidak atau apakah ia membebankan masyarakat seolah-olah sudah tidak menjadi perhitungan lagi. Yang penting, duit.

Selagi duit menjadi kiraan dan harga serta tambang terus melonjak, selagi itulah masalah semakin banyak perlu ditanggung masyarakat. Wallahualam!

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...