TERKINI :

Saturday, July 20, 2013

Di Malaysia, semuanya ‘tiada tindakan lanjut’

ANALISIS BERITA OLEH THE MALAYSIAN INSIDER
July 20, 2013
Latest Update: July 20, 2013 11:39 am

ANALISIS BERITA - Masih menunggu Datuk Zulkifli Noordin didakwa atas kesalahan menghasut atau undang-undang kerana mengeluarkan kata-kata hinaan terhadap penganut Hindu? Tiada Tindakan Lanjut.

Masih menunggu Datuk Ibrahim Ali didakwa kerana mengugut hendak membakar kita bible berbahasa Melayu? Tiada Tindakan Lanjut.

Masih menunggu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi didakwa kerana menyebabkan kecederaan? Tiada Tindakan Lanjut.

Masih menunggu Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) mengambil tindakan terhadap orang kaya dan berkuasa yang campur tangan dalam kehakiman seperti dibentangkan Suruhanjaya Diraja dan Inkuiri? Jangan tunggu.

Dalam tempoh 48 jam lalu, tindakan dikenakan kepada pasangan lucah, Alvin Tan dan Vivian Lee (Alvivi), atas kesalahan mereka mempersendakan Ramadan dengan menyiarkan gambar menyentuh sensitiviti umat Islam di laman sosial Facebook mereka, sementara tiada tindakan ketara diambil terhadap individu yang mempunyai kaitan politik walaupun melakukan kesalahan hampir serupa. Polis Diraja Malaysia dipersalahan kerana menjadi pihak yang memainkan peranan besar di dalam negara tetapi tidak boleh melakukan apa-apa terhadap tertuduh yang tinggal di kejiranan mewah atau mempunyai beberapa kaitan dengan orang politik.


Gambaran itu semakin jelas bahawa halangan terbesar untuk melaksanakan keadilan dalam lanskap perundangan negara ialah lelaki yang sudah mengangkat sumpah untuk melindungi integriti sistem undang-undang Malaysia: Peguam Negara Gani.

Pada sidang akhbar semalam, Datuk Khalid Abu Bakar menangkis kesalahan yang dilemparkan mengenai ketiadaan tindakan terhadap Naib Presiden Perkasa, Zulkifli atas komen berbentuk hinaan yang dikeluarkan terhadap kaum India dan agama Hindu.

Beliau berkata, polis sudah melengkapkan siasatan terhadap calon BN Shah Alam itu tetapi dimaklumkan oleh peguam negara bahawa tiada bukti untuk mendakwa beliau. Maka, kes membabitkan lelaki yang mempunyai ikatan mesra dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejak meninggalkan Pakatan Rakyat itu diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut.

Tiada bukti? Mungkin Gani dan penyiasatnya boleh lepas dengan ayat seperti itu pada zaman pra-Internet. Mugkin.

Tetapi, berduyun-duyun rakyat Malaysia sudah melihat Zulkifli menghina dan merendahkan martabat kaum India dalam klip video yang tersebar luas di internet. Kami sudah nampak buktinya dan ia memang teruk, dalam cara yang sama beribu-ribu warga Malaysia melihat sampah yang disiarkan oleh Alvivi dan jadi malu dengan kebodohan serta sikap tidak sensitif pasangan itu.

Dalam kes Alvivi, peguam negara mendakwa mereka dalam tempoh seminggu selepas siaran di Facebook mereka diketahui umum. Hebat, tindakan pantas untuk rakyat Malaysia.

Jadi, tolong beri penjelasan apa yang berlaku kepada fail Ibrahim?

Pada 18 Januari di Permatang Pauh, ini kenyataaan yang dikeluarkan:"Orang Islam perlu bersatu untuk melindungi agama mereka. Mereka mesti merampas semua bible, termasuk edisi bahasa Melayu yang mengandungi perkataan Allah dan terma Arab yang lain, dan bakar mereka.

"Ini adalah cara menunjukkan kemarahan terhadap mereka yang tidak menghormati sensitiviti kita."

Kenyataaan yang mengapi-apikan itu menghasut rakyat setiap hari sepanjang minggu. Tetapi, tujuh bulan kemudian, masih tiada tindakan. Atau Tiada Tindakan Lanjut.

Semestinya, pembela Ibrahim seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata Ibrahim yang juga Presiden Perkasa itu tidak berniat untuk menghina Bible.

Ibrahim hanya menyatakan cara biasa untuk menghapuskan penerbitan haram. Tetapi, di sini alasan mengarut itu semakin jelas: ia bukan penerbitan haram. Di bawah pelan yang dibawa oleh pentadbiran Najib, bible dalam bahasa Melayu dibenarkan untuk diimport masuk ke dalam negara.

Dalam apa juga kes, simpan saja alasan mengenai niat Ibrahim atau motif untuk mitigasi atau rayuan di peringkat perbicaraan.

Sebagai bekas menteri dan peguam, Datuk Zaid Ibrahim menulis pada tahun 2011 bahawa peguam negara di Malaysia dianggap mempunyai dua peranan: penasihat undang-undang kepada kerajaan dan Pendakwa Raya.

Sebagai Pendakwa Raya, peguam negara perlu memastikan bahawa sistem keadilan jenayah berfungsi dengan baik dan penuh integriti. Sebagai Pendakwa Raya, peguam negara bekerja untuk rakyat, bukan Najib atau kerajaan Barisan Nasional.

"Beliau adalah barometer yang digunakan untuk mengukur kejayaan kita sebagai negara yang ditadbir oleh Kedaulatan Undang-undang,” kata Zaid, yang ketika bertindak sebagai de facto Menteri Undang-undang cuba memujuk Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Abdullah Badawi untuk membolehkan peguam negara menjawab kepada Parlimen.

Sungguh mengejutkan, tetapi menteri Umno dan Abdullah keberatan untuk menimbangkan perubahan struktur pelaporan peguam negara atau mengubah apa-apa yang berkaitan pejabat itu.

Mengapa mereka hendak berbuat demikian? Untuk apa mengubah sesuatu yang tidak rosak, betul? - 20 Julai, 2013.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...