TERKINI :

Monday, May 20, 2013

Tsunami Cina dan nasi basi

oleh Edwin Michael

May 20, 2013

20 MEI — Apa sebenarnya dosa etnik Cina ini? Tidak habis-habis mereka dijadikan kambing hitam terhadap prestasi hambar kerajaan Datuk Seri Najib Razak dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Tuduhan kononnya tidak mengenang budi, mengigit tangan yang menyuap nasi ini sudah tidak relevan lagi apabila membicarakan tentang etnik dan politik di negara ini. Ya, memang benar bahawa adalah satu pengkhianatan apabila mengigit tangan yang menyuapkan nasi tapi apa lagi cara yang ada untuk melepaskan diri daripada terus disuap dengan nasi yang sudah basi?

Adalah sedih apabila ada juga ahli akademik yang berhujah atas dasar emosional dan bukannya meneliti, mengkaji, menganalisis dan mengupas isu ini secara kritis.

2008 menyaksikan bagaimana etnik India menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) dan peralihan undi kepada pembangkang menjadi faktor utama kenapa kerajaan BN ketika itu hanya menguasai parlimen dengan majoriti mudah. 2013 pula keadaan yang sama dengan kebangkitan pengundi etnik Cina pula. Apa yang kita cuba sembunyikan disini ialah pengundi muda dan kaitan mereka dengan media baru yang sebenarnya memainkan peranan utama berlakunya peralihan undi kepada pembangkang dalam PRU13 ini.

Jangan pandang rendah kuasa media baru ini. Ini tidak ada kaitan etnik mana memilih untuk mengundi siapa. Ini soalnya, calon mana yang lebih berintegriti dan berkredibiliti tinggi. BN masih dengan pemikiran “old school” apabila menganggap bahawa dengan penggunaan media tradisional, BN akan dapat menguasai Malaysia. Ini satu percaturan yang teramat salah dikala tinggal tujuh tahun lagi untuk kita mencapai Wawasan 2020.

Pakatan Rakyat (PR) dilihat cukup konsisten dalam menggunakan media sosial untuk “menjual” ideologi dan manifesto termasuk calon-calon pilihanraya mereka. Apa yang mereka gunapakai disini adalah strategi perang Sun Tzu. Penyair terkenal China Tu Mu (803-852) menulis “Amalkan rendah diri dan keadilan tetapi pada masa yang sama manipulasikan apa sahaja peralatan yang ada untuk kepentingan diri”.

Satu-satunya alat yang ada untuk PR menguasai pilihanraya ialah melalui media sosial. Agenda setting oleh BN dalam media tradisional yang sentiasa memperbesarkan isu-isu positif tentang Perdana Menteri dan kerajaan sudah tidak relevan lagi dalam konteks sekarang. Belia sekarang “gilakan” maklumat yang mereka percaya hanya boleh diperolehi melalui media baru dan bukannya menerusi media tradisional kerana tahap kepercayaan belia terhadap media tradisional sudah boleh dipersoalkan.

Belia memberikan keutamaan kepada portal berita online dan apabila mereka terdedah kepada dua berita yang sama dengan versi yang berlainan daripada media tradisional dan media baru maka keinginan mereka untuk mencari jawapan sebenar hanyalah menerusi media baru.

Peluang ini yang digunakan oleh PR untuk mendekati golongan belia sedangkan BN hanya pandang sepi peranan media baru ini.

Berpandukan kepada fakta, dalam PRU yang lalu, semua kerusi Parlimen dalam kawasan ibu negeri seluruh Malaysia kecuali Perlis dan Johor di menangi gabungan PKR, PAS dan DAP. Jika ini dijadikan sandaran maka secara akademik kita perlu menolak kerangka teoretikal “Tsunami Cina” ini kerana dengan jelasnya bahawa kaum lain juga menolak BN terutamanya di kawasan bandar dan separa bandar.

Andaikata PR bergantung kepada media tradisional mungkin peralihan ini tidak akan wujud sama sekali dan begitu juga jika BN berhenti menyuap nasi yang basi kemungkinan Najib untuk menang bergaya adalah cukup tinggi.

Propaganda PR yang cukup hebat dan berilmukan kepada strategi yang konsisten yang menjadi faktor berlakunya tsunami maklumat dalam kalangan belia di negara ini. Ada apa dengan pemberian rebat telefon bimbit ataupun pemberian bantuan tertentu tetapi usaha kerajaan BN dalam mengurangkan beban kehidupan yang makin melarat ini tidak diutamakan. Jika ada dua tangan yang berlainan individu ingin menyuap nasi basi dan nasi briyani yang mana satu pilihan kita? Tentunya nasi briyani. Kerana itulah belia pelbagai etnik lebih condong dengan menyokong manifesto PR terutamanya pemansuhan PTPTN, pemansuhan tol, pengurangan harga kereta dan harga minyak.

Malah, soal kepimpinan juga perlu dititikberatkan. BN dilihat tiada karakter yang mampu menyaingi kredibiliti pemimpin belia dalam Pakatan Rakyat kecuali Datuk Saifuddin Abdullah yang telah tewas dalam PRU umum lalu dan Khairy Jamaluddin. Perlantikan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Belia dan Sukan dilihat satu strategi yang baik dalam usaha mendapatkan semula sokongan golongan belia ini namun usaha itu dilihat sukar lebih-lebih lagi apabila BN terlalu selesa dengan media tradisional sedangkan golongan belia kini berpaksikan media baru.

Jadi, dimananya tsunami Cina ini? Hentikan laungan tsunami Cina dan mohon tiada lagi nasi basi.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...