TERKINI :

Monday, May 13, 2013

PRU Ke-13: Banyak yang kita pelajari

Oleh Aspan Alias

Sejak setahun yang lalu sehingga pilihanraya ke 13 diadakan dan selesai dilaksanakan, kita melihat berbagai-bagai ragam yang berlaku di hadapan mata kepala kita. Sekarang pilihanraya sudah selesai, timbul pula keresahan bagaimana mereka dari pembangkang yang tidak berpuas hati dengan cara pilihanraya diadakan. Sekarang setiap malam diadakan himpunan rakyat yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihanraya itu kerana pilihanraya itu dikatakan telah dicemari dengan penipuan dan berbagai-bagai lagi.

Sebelum pilihanraya berlalu, saya ada beberapa kali menulis sambil mengingatkan semua pihak yang pilihanraya itu akan diadili oleh rakyat ramai yang melihat dan memandang semua pihak dengan serius. Mana-mana pihak yang melakukan kesilapan akan menerima padah yang tidak diingini dan akan mengecewakan pihak-pihak yang bertanding itu.

Diantara perkara yang saya sebut ialah, 'jangan kita pipiskan lada dahulu kerana burungnya masih terbang’. Jangan kita panggil jemputan dulu kerana burung yang terbang itu masih di awan. Hendak menangkap atau menembak burung itu jangan terlalu bising kerana burung itu akan terbang tinggi sebelum kita dapat mengacukan senapang kita kearah mereka. 'Jangan berebut-rebut untuk menjolok buah dipokok kerana apabila buah itu jatuh nanti orang lain pula yang menyambutnya'.


Perbilangan ini adalah perbilangan orag tua-tua, tetapi anak-anak muda yang ghairah selalunya lupa dan tidak memandang hormat kepada pandangan orang tua-tua. Masing-masing angkuh dan tidak ada yang boleh meredakan keangkuhan mereka. Mereka semua pandai, yang lain-lain itu semuanya bodoh dan tidak berguna lagi.

Pihak yang mempertahankan kedudukan pula begitu juga. Mereka mempunyai perasaan takut tetapi tidak mengaku kerana politik ini kadangkala penuh dengan keegoan pihak-pihak tertentu. Selalunya pihak yang bertahan akan melakukan apa sahaja asalkan kuasa dan jawatan mereka tidak tergugat. Maka timbul pula pihak yang mengaku sebagai 'cendiakawan-cendiakawan' diatur berbaris dalam saluran-saluran TV untuk mempertahankan pihak yang sedang enak berkuasa itu. Semasa itulah 'cendiakawan-cendiakawan' itu cuba sedaya upaya menunjukan kemahiran mereka untuk mengampu dan menonjolkan kepentingan masing-masing.

'Cendiakawan-cendiakawan' ini pula berselindung disebalik imej ‘professor’ dan tahap akademik mereka mengharapkan rakyat percaya dengan ulasan mereka. Akhirnya ilmu yang ada didada ternoda kerana kepentingan peribadi yang menebal. Dalam ramai-ramai yang berimejkan ‘professor’ itu ada yang mengharapkan balasan tetapi oleh kerana keputusan yang tidak berapa baik maka niat mereka tidak tercapai.

Pihak yang mempertahan kuasa menggunaka isu perkauman yang menebal yang tidak disukai rakyat. Justeru isu itu dipergunakan oleh pihak pembangkang dengan hebatnya tanpa disedari dikalangan parti yang membidas isu perkauman itu sendiri ada mempunyai ‘attribute’ sebagai parti perkauman juga.

Hasilnya semua pihak merasa letih. Ia boleh diibaratkan seorang tua yang mengejar si tua yang lain. Si tua yang dikejar terpaksa berhenti kerana tiada ‘stamina’ dan si tua yang mengejar pun berhenti juga kerana tidak mempunyai ‘stamina’ dan kekuatan serta kudrat yang mencukupi. Masing-masing mengah dan kekurangan bernafasan.

Itu sebabnya saya tidak merasa malu untuk mengingatkan setengah pihak yang terlalu ghairah supaya tangkap burung itu dulu barulah pipiskan lada dan menjemput jiran tetangga untuk berjamu. Ramailah yang marah-marah dengan saya tetapi akhirnya apa yang saya peringatkan itu menjadi juga.

Sekarang kita menjerit kerana burung sudah terbang tinggi sedangkan lada sudah dipipis. Air dalam tempayan sudah dibuang sedangkan guruh yang berdentum itu tidak menurunkan hujan. Bila masa burung-burung yang terbang itu akan dapat ditangkap tiada siapa yang tahu.

Mungkin burung bangau akan turun juga akhirnya dibelakang kerbau tetapi bila bangau itu akan turun? Itu pun tidak ada siapa yang boleh menjawabnya. Kerbaunya pun sudah tidak ada lagi. Tetapi masih ramai juga yang sedang sibuk mengira buah kerayung. Itu kehendak masing-masing lah. Selagi ada buah-buah kerayung itu bilanglah dan kiralah sepuas-puasnya.

Mungkin kah selepas ini, bangau memilih untuk turun dan hinggap dipokok-pokok yang rendang dan tidak dibelakang kerbau lagi? Jawapannya, wallahualam bissawab.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...