TERKINI :

Thursday, May 30, 2013

Mengenali wirid tok alim, wirid ahli ibadah - TG Nik Aziz

Oleh Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat

SEKIRANYA ada yang bertanya apakah dalil bahawa orang alim memadai dengan mentelaah kitab, bukannya wirid seperti si abid, jawapannya ialah sila buka semula dalil-dalil yang telah dikemukakan, dalam bab belajar dan mengajar di permulaan perbincangan ini terdahulu.

Di sana terdapat nas al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. yang menjelaskan perkara tersebut, yang menyatakan fadilat belajar dan pelbagai fadilat mengajar.

Orang alim dan tok guru memadailah dengan mengajar orang ramai, tidak perlu habiskan masanya berwirid dan berzikir.

Ini kerana masa yang berharga diperlukan untuk mentelaah kitab dan ulang kajinya, sebagai sumber ilmu yang diperlukan untuk persediaan mengajar orang ramai. Apa yang tidak kenanya apabila dikatakan begitu, kerana apabila seseorang itu mengaji dan mengajar semua itu ada kesinambungan terhadap zikir (ingat) kepada Allah SWT.


Seseorang yang berkuliah atau mengajar agama Islam atau membaca kitab-kitab, ia tidak sunyi daripada menyebut firman Tuhan dan hadis Nabi s.a.w. Bukankah itu bererti ingat (zikir) kepada Allah SWT ditambah peluang mengajar orang yang tidak berkesempatan mengaji semasa mudanya.

Justeru, ahli siasah berlandaskan akidah Islam mengulas sesuatu isu atau perundangan, ulasan pasti berdasarkan firman Allah SWT dan hadis Nabi s.a.w. Orang ramai yang mengikuti majlis tersebut boleh turut mengingati dalil dan sabda Nabi s.a.w. meskipun isunya berbeza, tetapi hujah dan dalilnya tetap bersumberkan al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. Ini bererti ingat (zikir) kepada Allah SWT.

Telah dinyatakan bahawa wirid bagi orang alim ialah mentelaah kitab dan ulang kajinya dengan mendalam, dalil dan hujahnya telah dinyatakan dalam “Kitab al Ilmi” telah dinyatakan dalil dan nasnya. Sekiranya tidak padan hujahnya maka bukalah sendiri al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. nescaya akan berjumpa ayat-ayat serta sabda Nabi s.a.w. supaya seseorang itu belajar dan mengajar.

Sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sebaikbaik di kalangan umatku ialah orang yang mengaji (mengkaji al-Quran) dan mengajarnya.” Bukan sekadar baca tanpa memahami isi kandungannya.

Apa yang penting bagaimana hendak melaksanakan segala maksud yang termuat di dalamnya.

Ini kerana dengan mengaji (mengkaji) dan mengajar, boleh memberi manfaat kepada makhluk dan boleh pimpin manusia menuju akhirat.

Jika untuk pimpin manusia sekadar di dunia, iaitu bagaimana cara hendak kaya dan mewah serta hidup sihat dan senang lenang, sekadar itu tidak perlu wahyu dari langit, kerana segala sumber kekayaan telah disediakan oleh Allah SWT.

Otak minda manusia yang Tuhan kurniakan cukup mampu memikirkan bagaimana mengatasi persoalan tersebut.

Wahyu yang datang dari langit adalah bagi menjelaskan bahawa dengan ketiadaannya, mustahil manusia boleh sampai ke akhirat dengan selamat.

Jika sekadar dengan kekayaan duniawi atau kuasa pengaruh yang dimiliki, manusia pasti terjebak dengan bahaya yang menanti di akhirat. Adapun orang awam dan orang masih di peringkat pelajar, hadir ke majlis ilmu dan majlis peringatan (al-wa’dzi) adalah lebih afdal daripada memenuhkan waktu dengan berwirid.

Ini kerana ilmu yang menjadi zat makanan penting bagi roh, mesti diramu dari pelbagai jenis ilmu bermula daripada akidah, fiqh, sejarah, tasauf, kesihatan, ekonomi dan pelbagai lagi yang turun dari langit untuk keperluan hidup manusia jasmani dan rohani. Pelbagai ilmu ibarat kepelbagaian zat yang terkandung dalam makanan seimbang untuk kesihatan hidup manusia.

Demikian juga ibarat golongan pekerja yang sentiasa bergerak mencari pendapatan rezeki halal, untuk menanggung keluarga anak-anak dan isteri serta ayah dan ibu yang menjadi tanggungannya. Semestinya lebih baik bergerak buat kerja ekonomi daripada berwirid?

Bagi golongan ini tidak boleh menyempitkan kehidupan keluarganya, sedangkan masanya dihabiskan dengan berwirid. Selagi matahari tidak naik segalah dia tidak pergi bekerja, sedangkan begitu banyak kerja yang boleh dilakukan sementara menunggu matahari naik segalah itu.

Bahkan wirid yang sebenarnya bagi golongan itu, ialah pergi ke pasar jual barang berniaga mencari rezeki yang halal atau bekerja dengan suatu perusahaan. Pekerjaan menjana rezeki yang halal itulah sebenarnya wirid yang mesti dilakukan, bagi menjamin kelangsungan ahli keluarga di bawah tanggungannya.

Dalam masa bekerja apa saja pekerjaan yang halal itu, ketika yang sama jangan lupa ingat kepada Allah SWT terutama tentang halal tidaknya pekerjaan yang dilakukan. Ingat Tuhan bukan sekadar bibir dan lidah menyebut; Allah, Allah atau Subhanalah, Astaghfirullah dan lain-lain lagi, tetapi ingat para malaikat-Nya yang mencatat dosa pahala daripada pekerjaan yang dilakukan berlandaskan syariat-Nya. Itulah ingat (zikir) sebenarnya.

Ingat kepada hukum-hakam- Nya terutamanya berkait dengan pekerjaan yang sedang dilakukan, juga bererti ingat kepada Allah SWT. Jika berniaga, pelanggan terlebih beri wang lalu didiamkan saja tanpa usaha kembalikan semula, bererti dia tidak ingat kepada hukum Allah SWT yang melarang perbuatan mengambil kepunyaan orang dengan jalan yang batil.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...