TERKINI :

Monday, May 20, 2013

EXCO BN Kedah akan di nilai KPI tahunan mereka oleh rakyat

Rakyat boleh nilai exco Kedah
NOOR FAIZAL GHAZALI
18 Mei 2013
Mukhriz Tun Dr Mahathir
Mukhriz Tun Dr Mahathir
 
ALOR SETAR - Rakyat boleh menilai keupayaan exco kerajaan negeri melalui petunjuk Indeks Prestasi Utama (KPI) yang diperkenalkan oleh Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, rakyat mahu melihat kerajaan negeri yang berorientasi prestasi sebagai satu penanda aras untuk diukur secara jelas dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, pendekatan kerajaan negeri di bawah Mukhriz menggunakan KPI tahunan untuk barisan exconya adalah langkah yang wajar dipuji.

"Setiap exco perlu diberi sasaran untuk dilaksanakan. Berdasarkan KPI, sasaran gerak kerja mestilah bergantung kepada jangka masa yang munasabah," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau diminta mengulas laporan Sinar Harian yang memetik Mukhriz sebagai berkata, setiap exco yang baru dilantik akan dinilai setiap tahun mengikut KPI portfolio masing-masing bagi memastikan pelaksanaan akujanji BN dapat dipenuhi.

Mukhriz berkata, proses mengagihkan peranan dan tanggungjawab yang disebut dalam akujanji sudah diserahkan kepada setiap exco mengikut portfolio masing-masing

Dr Mohamed Mustafa yang juga Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, setiap exco perlu melaksanakan sasarannya dalam tempoh masa tertentu sejajar dengan sasaran yang ditetapkan.

"Apa yang perlu diutamakan ialah memastikan manifesto dalam akujanji BN Kedah dapat ditunaikan dalam tempoh masa lima tahun kerana rakyat akan menilai pelaksanaannya," katanya.

Menurutnya, Kedah memerlukan banyak agenda pembangunan untuk mencapai matlamat sebagai sebuah negeri maju seperti Selangor dan Pulau Pinang.

Justeru itu, kerajaan negeri perlu mengorak langkah dengan gerak kerja yang drastik serta fokus bagi mencapai matlamat berkenaan.

"Banyak pembaharuan pembangunan perlu dirancang semula bagi menarik pelabur. Contohnya Kulim High-Tech Park perlu diberi perhatian sewajarnya untuk dibangunkan sebagai sebuah kawasan perindustrian yang lebih gah di masa hadapan," katanya.

Mengenai barisan exco yang diketengahkan Mukhriz, beliau menyifatkan ia mempamerkan gandingan seimbang dan diyakini dapat merencana agenda pentadbiran dan pembangunan negeri.

"Gandingan tokoh lama dan muka baru memperlihatkan keseimbangan yang mantap untuk membentuk sebuah pentadbiran yang dinamik.

"Saya yakin mereka dapat menerajui mandat besar bersandarkan pengalaman dan latar belakang kebolehan masing-masing," katanya.

Beliau berkata, kombinasi itu juga mewakili wakil rakyat dari setiap daerah. Ia adalah percaturan yang baik dan berkesan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...