TERKINI :

Thursday, April 4, 2013

P79 Lipis: Andai Siti Nurhaliza jadi calon...

Kuala Lipis memang tidak dapat dipisahkan dengan nama Siti Nurhaliza. Sejak beliau popular, nama Kuala Lipis tiba-tiba menjadi sebutan biasa kepada rakyat Malaysia. Berbanding sebelumnya, orang akan tertanya-tanya di manakah tempat tersebut. Walhal, Kuala Lipis merupakan bekas ibu negeri Pahang, dan tempat kelahiran Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak. Di Lipis juga wujud antara sekolah tertua di Malaysia iaitu Sekolah Menengah Clifford (sekarang SMK Clifford). Di sekolah ini jugalah beberapa tokoh negara pernah belajar termasuklah Sultan Pahang sendiri, Sultan Ahmad Shah, Tun Muhamad Ghazali Shafie, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan Siti Nurhaliza.

Berbalik kepada isu pilihan raya, secara peribadi, dalam suasana politik Malaysia yang tidak matang pada hari ini, lebih afdal sekiranya Datuk Siti tidak terbabit dalam politik – kekal dalam status neutral.

Parlimen Kuala Lipis merupakan antara kawasan milik Umno-BN sejak merdeka. Musuh tradisi Umno BN di kawasan ini sudah tentulah PAS, walaupun dalam beberapa kali pilihan raya Semangat 46 dan PKR pernah bertanding. Parlimen Lipis mempunyai tiga kawasan Dun iaitu N3 Padang Tengku, N4 Cheka dan N5 Benta. Parlimen dan ketiga-tiga Dun tersebut dimenangi oleh BN. Namun majoriti undi yang di terima BN tidak lah terlalu tinggi iaitu Padang Tengku (1,188), Cheka (1,280), dan Benta (1,358).

Dari Segi pecahan kaum di Parlimen Lipis, bangsa Melayu mewakili 76.81 peratus, Cina 17.44 peratus, India 5.75 peratus dan selebihnya lain-lain bangsa. 

Sehingga kini tiada lagi keputusan yang jelas parti manakah yang akan mewakili Pakatan Rakyat bagi kerusi parlimen. Namun bagi kerusi Dun, PAS bakal meletakkan Roslan Zainal sekali lagi di Padang Tengku. Baki dua Dun lagi mungkin ditandingi parti komponen Pakatan Rakyat.

Bagi PAS, sudah tentulah tertumpu kepada Padang Tengku. Pecahan kaum di Dun Padang Tengku ialah 93.18 peratus Melayu, 3.15 peratus Cina dan 3.67 peratus India.

Secara umumnya, peluang untuk PAS mencipta sejarah di Dun Padang Tengku tidak mustahil, apatah lagi perkembangan akhir-akhir ini yang melihat gelombang rakyat yang inginkan perubahan melanda seluruh pelosok negara.

Dalam pertemuan dengan YDP PAS Lipis, Ustaz Ishak Sat (Gambar kiri, berkopiah) dan Setiausaha PAS Kawasan Lipis, Muttacohiri Ludin Gambar Kanan), pelbagai program dan aktiviti telah diadakan demi meningkatkan sokongan dan undi seterusnya memenangi Dun Padang Tengku.

Menurut Muttacohiri, kebanyakan program dan aktiviti yang dilakukan ialah yang berkaitan golongan muda. Golongan ini lebih mudah diajak berbincang dan berfikiran agak terbuka. Antara program khas untuk golongan muda ini ialah pertandingan grand prix futsal.

Muttacohiri memaklumkan grand prix ini kepada lima zon. Pemenang setiap zon akan mewakili zon masing-masing untuk peringkat Dun pula. Kadangkala pihak PAS kawasan tidak menonjolkan imej parti dalam aktiviti sukan ini. Tujuannya supaya anak muda daripada pelbagai pihak dapat menyertainya dengan selesa.

Menurutnya lagi, aktiviti sebegini lebih berkesan menarik golongan muda khususnya golongan atas pagar untuk didekati. Pada masa masa yang sama program usrah, kuliah dan sebagainya tetap diteruskan seperti biasa bagi memantapkan lagi kefahaman ahli tentang perjuangan Islam dan PAS.

Selain mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, masalah setempat dijangka menjadi pemangkin utama PAS untuk mencipta kemenangan. Antara isu besar termasuklah permohonan tanah yang terlalu lama dan isu air. Selain itu, isu pembinaan kilang simen di Merapoh turut mendapat perhatian penduduk setempat.

Bagi Ishak Sat, Isu tanah dan air menjadi topik utama dalam kalangan penduduk setempat. Bagi isu tanah misalnya, ada sesetengah pemohon telah pun meninggal dunia. Status permohonan mereka tergantung begitu sahaja. Sementara di sesetengah kawasan seperti Pagar Sasak, isu air masih tidak selesai.

Menurut Ishak lagi, seorang bekas menteri pernah datang dan berjanji isu air akan selesai dalam tempoh dua minggu, namun sehingga kini tiada apa-apa perubahan yang berlaku. Bahkan, Menteri Besar Pahang sendiri pernah turun ke kawasan ini dan berjanji akan membina dewan orang ramai, tetapi rata-rata penduduk berbisik sesama sendiri bahawa mereka bukan mahukan dewan orang ramai, tetapi geran tanah.

PAS Pahang menyedari hal ini dan telah memasukkan isu tanah ini dalam manifestonya. Oleh itu, Ishak yakin, jika kedua-dua isu ini digembeling dengan baik, harapan untuk merampas Dun Padang Tengku menjadi kenyataan. 

Dun Padang Tengku mempunyai 19 Unit Peti Undi iaitu Merapoh, Aur Gading, Teluk Gunung, Pagar Sasak, Seberang Jelai, Berchang, Relong, Padang Tengku, Gua, Sungai Temau, Kechau, Petola, Tanjung Jambu, Selborne, Tempoyang, Mentara, dan Bapong. Sementara dua lagi UPU  ialah Felda Kechau dan Felda Sungai Temau.

Berdasarkan PRU12 yang lalu, PAS telah menang di lima UPU dan untuk menawannya PAS mesti menang di 2/ 3 UPU. Kekalahan besar sudah tentulah di kedua-dua kawasan Felda. Namun, akhir-akhir ini sudah ada perubahan dalam kalangan mereka dan di harapkan dapat diterjemahkan dalam bentuk undi.

Dalam kesempatan lain saya berkesempatan melawat bilik gerakan PAS di Surau Chabang Tiga yang  terletak kira-kira 30 kilometer dari pekan Merapoh. Saya bersama-sama beberapa AJK PAS kawasan bergerak dari Berchang ke Surau Chabang Tiga. Secara kebetulan mereka ada mesyuarat dengan AJK kampung berkenaan.

Seusai mesyuarat, saya berpeluang berbuatl-bual dengan Mohamed Hussin, Bendahari PAS cawangan Teluk Gunung yang juga lebih dikenali sebagai “Abe Kob” dan Ketua Pemuda cawangan Teluk Gunung, Abdullah.

Dalam perbualan santai itu, mereka berdua menyatakan bahawa masalah tanah merupakan topik utama penduduk setempat. Sesetengah daripada mereka telah memohon untuk mendapat geran sejak 30 tahun yang lalu, tetapi sehingga kini tiada sebarang perkembangan.

Antara perkara yang turut ditimbulkan ialah masalah kelahiran mereka iaitu walaupun mereka menetap di Pahang, namun kod negeri yang tertera di kad pengenalan ialah kod Kelantan. Kebanyakan penduduk di beberapa buah kampung di sekitar kawasan Merapoh ini berasal dari Kelantan. Mereka datang ke kawasan ini dan membangunkannya hingga menjadi sebuah kampung.

Namun, akibat kod kelahiran ini, timbul beberapa masalah termasuklah masalah mendapatkan biasiswa pendidikan dan sebagainya.

(Gambar: Abe Kob dan Abdullah -berbaju merah- di hadapan markaz PAS Chabang Tiga)

Menurut Abe Kob, masalah permohonan tanah bukan sahaja melanda penduduk yang menyokong pembangkang, malah penduduk yang menyokong Umno-BN pun tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan.

Selain tanah, isu terbaru yang melanda penduduk kawasan ini ialah perancangan kerajaan yang mahu membina kilang simen. Kedudukan kilang tersebut yang terletak kira-kira 5 kilometer daripada penempatan penduduk boleh membahayakan kesihatan mereka. Bahkan, pembinaan kilang simen ini turut tidak dipersetujui oleh penyokong Umno-BN di kawasan ini.

Oleh hal yang demikian, beliau berharap, jika Pakatan Rakyat menang dalam PRU13 nanti masalah ini dapat diselesaikan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...