TERKINI :

Tuesday, April 23, 2013

Kakitangan awam masih takut dengan "hantu DAP" yang hendak cantum Malaysia dengan Singapora..?

Kakitangan awam masih takut dengan "hantu DAP"?
Oleh ZULKIFLI YAHAYA

 Saya mendapat maklumat dari kalangan kakitangan awam berbangsa Melayu, bahawa mereka dipaksa menghadiri program ceramah anjuran jabatan yang menaungi mereka. Oleh kerana yang mengeluarkan arahan itu ialah pihak di atas maka mereka yang di bawah terpaksa mengikut arahan, khuatir diambil tindakan disiplin jika engkar.

Program berimejkan program kerajaan dan penceramah yang didatangkan juga adalah dari kalangan pemegang jawatan kerajaan yang selalunya membuat pengakuan bahawa dia adalah seorang yang hebat dan berpendidikan tinggi.

"Hari ini saya bukan nak bercakap mengenai isu politik Umno, PAS, sebab saya bukan orang politik sebaliknya saya adalah orang akademik. Dalam politik saya tidak menyebelahi pihak Umno atau PAS, saya hanya mahu membicarakan mengenai kedudukan kita orang Melayu Islam di negara ini serta ancaman yang bakal dihadapi jika kita lalai dalam mengesan perancangan musuh," itu antara mukadimah terhadap pembentangan propaganda yang dipersembahkan di hadapan kakitangan awam Melayu.


Intipati ceramah langsung tiada kena mengena dengan urusan kerja kakitangan awam namun mereka tiada pilihan untuk tidak mendengarnya. Demokrasi ala Malaysia begitulah ... kakitangan awam wajib menganut ideologi politik BN yang memerintah Pusat. Jika membantah, mereka akan menerima padah.

Senario ancaman Melayu kemudian dilebarkan lagi penceramah tersebut dengan mengajak mereka melihat kedudukan ekonomi yang serba ketinggalan. Kemudian ia beralih kepada ancaman akidah dan berakhir dengan ancaman politik.

Semuanya berlegar di sekitar isu rasis. Momokannya ialah DAP dengan penguasaan Cina dan Kristianisasi.

Penceramah pun membentangkan satu demi satu pelan DAP sejak merdeka yang Lim Kit Siang pun tidak terfikir perkara itu. Ia tampak real dengan beberapa 'bukti' yang dipamerkan.
Angka kehadiran ahli-ahli Parlimen Melayu dan bukan Melayu dibentangkan. Bahawa, jika berlaku persaingan sokongan antara kepentingan Melayu dan bukan Melayu maka orang Melayu tidak mampu berbuat apa-apa kerana tidak lagi memiliki majoriti dua pertiga.

"Jika Pakatan Rakyat berkuasa di Pusat, maka DAP akan menggunakan kuasanya untuk mencantumkan Malaysia dengan Singapura. Singapura menyumbang 88 kerusi parlimen dan sekali gus menyebabkan bukan Melayu menguasai majoriti dan mungkin mampu membentuk dua pertiga.

"Masa itu hasrat mereka untuk menghapuskan hak istimewa Melayu, menghapuskan raja-raja Melayu, membuang Islam sebagai agama rasmi malah melantik Perdana Menteri dari kalangan orang Cina akan tercapai," ujar penceramah itu.

Ada juga pegawai kerajaan yang berkelulusan tinggi menganguk-angguk macam pokka, menelan bulat-bulat segala propaganda tersebut. Masalahnya, dalam program seumpama itu para peserta tidak dibenarkan bertanya soalan atau membalas hujah. Itu kaedah mempasakkan kepercayaan ala komunis di zaman penguasai Soviet Union.

Jika program seumpama itu membenarkan peserta bertanya soalan, rasanya ramai yang akan bertanya, adakah begitu mudah Malaysia mahu bercantum dengan Singapura?

Adakah cukup dengan DAP yang mempunyai 50 kerusi Parlimen (andaian maksimum) bersetuju untuk bercantum dengan Singapura maka ia pun berlaku dan seluruh rakyat Malaysia melihatnya dengan tersengih-sengih? Adakah 88 kerusi Parlimen Singapura sama taraf dengan kerusi Parlimen Malaysia?

Pulau Pinang yang digadaikan kerajaan Kedah kepada Syarikat Hindia Inggeris pun tidak mampu dicantumkan kembali hingga kini, pakar propaganda Umno mahu berkelentong pula perihal percantuman dua buah negara yang telah terjurang dari segala aspek.

Ayuh penceramah propaganda BN, jangan memperalatkan status akademik untuk memperbodohkan kakitangan awam demi kelangsungan kuasa para perasuah negara.

DAP belum masuk ke dalam kerajaan Pusat sewaktu separuh dari Tanah Simpanan Melayu berpindak milik kepada pihak lain. DAP belum jadi Perdana Menteri sewaktu Melayu yang menjadi tuan asal negara ini hanya memiliki tidak sampai 16 peratus kekayaan eknonomi.

Tempoh yang panjang berlangsungnya persubahatan Umno-MCA, undang-undang mencegah murtad yang cuba dibawa PAS di Parlimen ditolak. Dalam tempoh itu juga enakmen jenayah syariah Islam yang cuba dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu digagalkan kuasa Pusat.

Pakatan Umno-MCA dan sekutunyalah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja di negeri-negeri tidak beraja serta membenarkan pengimportan Bible dari Indonesia yang menggunakan kalimah Allah.

Dalam tempoh separuh abad persubahatan Umno-MCA itu, ramai orang Melayu yang buta jawi kerana tulisan jawi pernah diharamkan dan buta Al-Quran akibat promosi kelazatan duniawi yang berlebih-lebihan.

Kini Umno bersusah hati pulak terhadap anak-anak muda Melayu yang akan jadi murtad kerana terpengaruh dengan 'Allah' yang terdapat dalam Bible tetapi tidak mendahului kekhuatiran terhadap anak-anak Melayu yang langsung membaca dan memahami al-Quran. Ironinya, rajin sangatkah mereka nak baca Bible kalau Quran pun tak pernah baca.

Negara mempunyai hasil yang banyak dan kaya raya, namun RM20 bilion dibazirkan setiap tahun melalui kebocoran kepada para kroni. Kalaulah RM20 bilion itu digunakan untuk menjana kekuatan orang Melayu/Islam di negara ini dalam semua bidang maka Melayu tidak akan merempat di negara sendiri (khususnya di bidang ekonomi).

Tapi apakan daya ini semua adalah kegagalan Umno yang diberi peluang rakyat mendominasi kerajaan tetapi menjadi pengkhianat kepada bangsa dan agama sendiri.

Hal ini yang patut disyarahkan ahli akademik di kalangan kakitangan awam lalu mencadangkan supaya Umno direhatkan sementara dari persada kuasa. Biar PAS dan Melayu dalam KeADILan pula dibiarkan memperjuangkan Islam/Melayu melalui permuafakatan dalam Pakatan Rakyat.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...