TERKINI :

Wednesday, March 6, 2013

Saman TV3, Utusan: Fitnah di sebalik berita benar?

KUALA LUMPUR: Dalam keadaan berita benar dilaporkan mengenai perkembangan terkini terhadap pencerobohan di Sabah, Utusan Malaysia dan TV3 masih menjalankan propaganda dan fitnah mereka terhadap Pakatan Rakyat, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Nampaknya mereka masih tidak serik turun naik mahkamah dan kalah serta sering membayar saman malu ekoran kalah di mahkamah,” ujar Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor dalam satu kenyataan.

Sebagai respons marah, Anwar telah mendesak Utusan Malaysia dan TV3 memohon maaf atau berdepan dengan saman RM200 juta jika media tersebut gagal membuat permohonan maaf berhubung laporan mengaitkan beliau dalam isu di Lahad Datu.

Tempoh 24 jam diberikan agar mereka menginsafi fitnah yang dilemparkan atau bersedia sekali lagi ke mahkamah.

“Itulah nada tegas pemimpin PR supaya media ini tahu bahawa etika kewartawanan atau pemberitaan mereka telah terlalu jauh menyimpang dari kebenaran,” kata Riduan lagi.


Baginya, pelik juga bagaimana Utusan dan TV3 membuat kesimpulan mudah dengan cuba membabitkan pemimpin PR sedangkan insiden ini sedang berlaku dan operasi masih diteruskan tanpa apa-apa kenyataan rasmi dari pasukan keselamatan negara mengenai dakwaan itu.

Agak kesal juga, ujarnya bagaimana rakyat cuba diperbodohkan dengan pemberitaan yang berat sebelah dan tersasar dari fakta yang tepat dan benar.

“Insiden pencerobohan ini adalah suatu perkara yang serius, besar dan amat menggemparkan.

“Tidak wajar mana-mana pihak memanipulasikan isu ini menjadi sensasi demi meraih populariti apatah lagi untuk dipolitikkan. Ia pula melibatkan keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan negara,“ katanya.

Tambahnya lagi, tragedi yang telah mengorbankan nyawa pasukan keselamatan seharusnya ditangisi oleh seluruh rakyat, bukan menuding jari dengan pelbagai spekulasi liar.

Sebaiknya, ujar Riduan media mencari punca sebenar bagaimana pencerobohan itu berlaku di perairan negara tanpa dikesan oleh pihak keselamatan negara.

“Cara kerajaan menangani isu ini selama berminggu-minggu juga menimbulkan persoalan yang perlu dirungkaikan.

“Ia jauh lebih bermanfaat daripada meniup fitnah dengan tuduhan yang tidak berasas,“ katanya.

1 comment:

Sabina45 said...

Sepatutnya Najib juga disaman sebab terlalu cepat percaya dengan utusan meloya dan tv tiga suku kerana dia suruh polis siasat dengan segera walhal kes dia sendiri yang rakyat suruh siasat tidak pulak dirinya rasa risau dengan ketidak percayaan rakyat ke atasnya.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...