TERKINI :

Friday, February 8, 2013

Umno – Bn Hasad Dengki Kejayaan PR Kedah

Oleh IZWAN ABDUL HALIM 
 
POKOK SENA: Umno-BN Kedah melihat kejayaan dicapai Pakatan Rakyat Kedah umpama ‘biawak meleleh air liur melihat bangkai’, demikian menurut Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak.

Ujarnya, banyak perkara dilaksanakan di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat tidak berlaku semasa 50 tahun pemerintahan Umno-BN menyebabkan mereka berhasad dengki dan membuat pelbagai dakwaan.

Mengungkap satu-persatu antara kejayaan itu, beliau menyentuh mengenai kejayaan menyiapkan Kampus Induk Kolej Universiti Insaniah (Kuin) tanpa bantuan kewangan walaupun satu sen dari Kerajaan Persekutuan.

Jelas beliau, semua usaha yang dibuat adalah untuk kepentingan rakyat dengan melahirkan generasi bertakwa dan berilmu.

Terang beliau, sekiranya negeri maju tetapi tidak bertakwa dan berilmu maka akan terjadi huru-hara dan tidak aman.


Dalam ucapannya itu, beliau menempelak wakil rakyat Umno tidak datang semasa perasmian Kuin oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan nyata mereka terkejut ia mampu disiapkan.

“Ini semua kehendak Allah SWT. Allah buktikan kita telus, walaupun tiada duit, dengan kesungguhan, tindakan berasas ketakwaan, Allah tolong kita untuk beri keselesaan pada rakyat,” ujarnya memanjatkan kesyukuran ketika ceramah Karnival Kedah Sejahtera PAS Kawasan Pokok Sena, di Langgar, di sini 30 Januari lalu.

Menurut Ustaz Azizan, sepanjang 50 tahun memerintah Umno tidak pernah fikir untuk membangunkan Kuala Ketil, tetapi kini di bawah Pakatan Rakyat, Kuala Ketil akan menjadi pusat ilmu yang mendapat perhatian antarabangsa.

Katanya, rakyat Kedah perlu merasa bangga dan bersyukur dengan kejayaan itu. Beliau turut mempelawa mereka ke Kuala Ketil melihatnya kerana wujud anggapan Kuin seumpama surau dan pondok sahaja.

Begitu juga Plaza Tunku Yaakob katanya, telah terbengkalai selama 34 tahun dan kerajaan kini mengambil inisiatif membangunkan kembali. Bagaimanapun usaha pembangunan itu dibantah Perkasa dan pihak lain hingga dibawa ke mahkamah. Namun akhirnya selesai untuk projek itu diteruskan sebagaimana dirancang.

Katanya lagi, cadangan membuat ladang rakyat di Geting Bunga, Padang Terap turut mendapat bantahan tidak masuk akal.

“Mereka hasad kerana perkara yang kita buat mereka tidak pernah buat. Mereka tidak terbayang. Macam cadangan Tan Sri Sanusi Junid hendak buat ‘University Of Tomorrow’ di Pulau Tuba, Langkawi tetapi kita ambil buat Maahad Tahfiz Sains,” ujarnya.

Maklum Ustaz Azizan, di bawah pemerintahan Umno-BN juga terdapat banyak Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri yang tidak mampu benyawa kerana tidak untung dan ketiadaan wang untuk bergerak antaranya Permodalan Kedah Berhad (PKB).

Alhamdulillah katanya, Allah memberikan bijih besi sehingga mampu menyuntik keuntung RM8 juta untuk PKB terus memacu perniagaannya dengan membina hotel di Langkawi bernilai RM204 juta.

Tegas beliau, itulah natijah takwa sebagaimana dijanjikan Allah bahawa Dia akan memberikan rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka.

“Semua ini tidak berlaku di zaman Umno memerintah, tetapi berlaku di zaman kita. Sebab itu mereka melihat semua (kejayaan) ini umpama ‘biawak meleleh air liur tengok bangkai’.

“Ini sebenarnya menunjukkan kecekapan Kerajaan Pakatan Rakyat. Banyak orang hendak berurusan dengan kita kerana yakin kita bersih. Tetapi Umno asyik tuduh kita tidak betul dan tidak tahu mentadbir. Umno siang malam nak pejatuh PAS tapi mereka kerja tak kuat,” ujar beliau dihadapan lebih 5,000 hadirin.

Tegasnya, Pakatan Rakyat perlu terus lagi memerintah kerana baru diperingkat ‘menyediakan tapak’ dan perlu melakukan banyak penambahbaikan.

Umno maklumnya sedang berebut hendak menjadi Menteri Besar hingga terlupa beliau masih lagi memegang teraju itu ketika ini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...