TERKINI :

Friday, February 8, 2013

Pemimpin BN Kedah biadab kepada Agong?

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA


Catatan kejayaan paling besar dan bersejarah sepanjang tempoh satu penggal Pakatan Rakyat menerajui kedah ialah apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berangkat merasmikan Kampus Induk Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil. Manisnya catatan ini ialah apabila ia berlaku di penghujung penggal, kira-kira tidak sampai sebulan sebelum PRU13 diadakan.

Sejak Pakatan mengambilalih pentadbiran kerajaan, KUIN menjadi isu yang paling mencabar disensasikan oleh pihak pembangkang. Selepas satu isu, muncul pula isu lain yang berbeza, semuanya berentetan dari awal hingga ke akhir penggal. Itulah 'bahananya' apabila Menteri Besar meletakkan misi dan visi yang terlalu besar terhadap KUIN. Projek besar, cabaran pun besar dan muncullah beraneka masalah. Mungkin sepatutnya Ustaz Azizan tidak meletakkan matlamat yang terlalu besar terhadap KUIN, maka tidak muncullah masalah. Tapi itu bukan cara berfikir orang yang berfikiran besar.

Natijah dari wawasan besar terhadap kepentingan pendidikan itulah maka wujud sebuah kampus bernilai RM330 juta di atas tapak seluas 330 hektar untuk fasa pertama. Semua mata yang memandang kampus yang tersergam indah itu sukar untuk mempercayai bahawa ianya bernilai RM330 juta, kerana di zaman BN dahulu dua buah logi pembersih air di Padang Sanai dan Lubuk Buntar yang dibina sudah bernilai RM220 juta! Inilah kelebihannya apabila golongan yang menjadikan 'sifar rasuah' sebagai polisi diberi amanah mentadbir negeri.

Beberapa hari menjelang perasmian KUIN oleh Yang di-Pertuan Agong, pihak tertentu sudah merasai kegelisahannya. Apa tidaknya, jika pemimpin nombor satu negara yang berangkat merasmikannya maka tiada suara-suara sumbang lagi yang berani mengkritik KUIN yang dibangunkan tanpa sesen pun wang kerajaan Persekutuan. Terdengar khabar angin di hujung telinga bahawa ada usaha melobi pihak tertentu supaya pihak Istana Negara tidak dilibatkan dalam upacara perasmian kampus induk KUIN.

Pelbagai alasan direka serta bermacam perancangan dibuat ke arah itu, tapi kuasa Allah mengatasi segalanya. Allah SWT mengtakdirkan Yang di-Pertuan Agong berangkat juga merasmikannya.

Akibatnya tokoh-tokoh politik BN di Kedah, kepanasan. Mereka dijemput oleh KUIN untuk hadir. Jika tidak menghadirkan diri, mereka dianggap biadab kepada Yang di-Pertuan Agong. Seandainya hadir pula, ia bermakna mengiktiraf kejayaan besar Pakatan Rakyat. Akhirnya para pemimpin BN Kedah memilih mudharat kecil berbanding mudharat besar. Mereka memilih untuk biadab kepada Yang di-Pertuan Agong dari memberi keuntungan politik kepada Pakatan. Bayangkan jika pemimpin kerajaan negeri dari Pakatan yang memboikot kehadiran seorang raja, maka media-media mereka akan memalu isu tersebut empat puluh hari empat puluh malam. Mereka akan berhujah, bidang pendidikan tidak wajar dipolitikkan. Tetapi oleh kerana yang biadab itu mereka, maka media talibarut BN pun buat-buat pekak badak.

Yang di-Pertuan Agong dalam titah perasminnya berpuas hati dengan perkembangan KUIN dan mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan yang telah berjaya membangunkan KUIN dengan gigih dan cemerlang. “Beta menghargai sokongan semua pihak dalam merealisasikan kejayaan ini. Dari segi bidang ilmuan dan kurikulum yang ditawarkan, KUIN telah berjaya melangkah lebih jauh, kini ianya telah menjadi institusi pengajian tinggi yang menyediakan program profesional seperti perubatan, kejuruteraan, multimedia, hospitality, kaunseling, perbankan dan kewangan Islam dan sebagainya, yang semuanya dilaksanakan secara Islamik, melalui proses Islamisasi ilmu melalui gabungan konstruktif, kreatif, inovatif dan komprehensif antara ilmu dunia dan ilmu akhirat,” titah baginda.

Di majlis tersebut Tunku Bendahara Kedah (Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah), Dato’ Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar AlHaj Ibni Almarhum Sultan Badlishah Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Wira Dr Affifudin Omar dilantik sebagai Pro Canselor. Ramai terkejut kerana kerajaan Pakatan melantik Afiffudin seorang veteran Umno sebagai pro Canselor. Beliau dilantik kerana professionalismenya di bidang pendidikan bukan kerana politik tetapi para pemimpin BN Kedah meletakkan politik lebih tinggi dari kepentingan pendidikan. Sebab itulah mereka memboikot majlis perasmian KUIN oleh Yang di-Pertuan Agong.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...