TERKINI :

Friday, February 8, 2013

7 Agenda Anak Muda Berkebajikan...

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
PELANCARAN 7 AGENDA ANAK MUDA BERKEBAJIKAN
(8 Februari 2013)

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan mengadakan Majlis Pelancaran 7 Agenda Anak Muda Berkebajikan yang akan dibuat pada hari Sabtu, 9 Februari 2013 jam 3.0 petang bertempat di depan SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Ia akan disempurnakan oleh Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama Exco DPPM yang lain. Pelancaran ini amat siginifikan ketika negara akan berhadapan dengan pilihanraya umum ke 13.

Bersama Pemuda Pakatan Rakyat, Majlis ini adalah suatu inisiatif sebagai suatu tawaran khusus kepada golongan muda di negara ini. Sudah tentu, 7 Agenda Anak Muda Berkebajikan ini adalah sesuatu yang amat realistik, relevan serta menyentuh kehidupan anak-anak muda.

Antara isu utama yang membelenggu anak-anak muda negara ini ketika ini adalah peningkatan kos hidup, pengangguran, perumahan, pendidikan, kenderaan serta kesejahteraan hidup. Faktor-faktor tersebut telah menjerut anak-anak muda sehingga mereka tidak mampu menterjemahkannya dengan kehidupan yang baik. Kesannya menjerumus kepada keciciran dalam pelajaran, kemiskinan bandar, kemelaratan, gejala sosial, kurangnya pendidikan agama, membawa kepada kemusnahan yang lebih besar seperti penyalahgunaan dadah, jenayah dan lain-lain lagi.

Tawaran ini berusaha melengkapi keperluan dan kehendak anak-anak muda selari dengan tuntuan semasa mereka. Langkah yang jelas serta tawaran yang meyakinkan akan memastikan anak-anak muda lebih terarah dengan panduan yang tepat.

Selama lima puluh tahun kerajaan BN gagal memahami tuntutan anak-anak muda sehingga generasi muda hilang jatidiri. Kerajaan BN lebih berminat memenuhi kehidupan golongan muda dengan aspek yang merugikan mereka seperti hiburan yang melampau dan melekakan tanpa pengisian yang bermakna.

Generasi muda adalah penentu jatuh bangunnya negara di masa hadapan dan mundur atau majunya negara di masa hadapan ditentukan oleh generasi muda pada hari ini. Lebih dari itu, generasi muda khususnya pengundi muda adalah penentu kepada keputusan pilihanraya umum ke 13. Melalui mereka, landskap negara mampu dilakar dan dicoretkan dalam kanvas politik baru dan 7 Agenda Anak Muda Berkebajikan ini bakal menjadi faktor pemangkin kebangkitan anak-anak muda dalam PRU 13 bersama Pakatan Rakyat.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...