TERKINI :

Tuesday, January 29, 2013

UMNO akan merasakan nikmat menjadi pembangkang


Usaha mengenepikan Najib dan menggantikan pimpinan UMNO dengan Muhyiddin nampakya semakin diketahui umum. Kepulangan Najib dari luar negara dengan sambutan yang agak besar itu adalah usaha pihak penyokong Najib bagi menunjukkan yang beliau (Najib) mempunyai sokongan kuat. Kehadiran ramai itu juga adalah untuk menunjukkan kepada pihak yang mahu mengalih dan menganjak kepimpinan dalam UMNO itu supaya jangan cuba-cuba untuk melakukan apa-apa terhadap beliau.

Dalam ramai-ramai ahli UMNO yang menunggu itu ada juga beberapa orang yang datang dari kalangan yang melakukan usaha mengenepikan Najib kerana tidak mahu tindakan mereka dihidu oleh pihak yang mempertahankan Najib. Yang jelasnya kumpulan yang datang beramai-ramai menunggu kepulangan Najib itu termasuklah mereka yang telah membaling batu terhadap Najib dan menyorokkan tangan mereka dengan hadir bersama dalam perhimpunan itu.

Itulah yang berlaku di dalam UMNO menjelangnya pilihanraya ini dan persediaan sudah nampak berlaku untuk melakukan apa yang telah dilakukan terhadap Abdullah Badawi dahulu. Jika BN memenangi pilihanraya kali ini dengan majoriti yang lebih kecil dari apa yang di perolehi oleh Abdullah Badawi dalam pilihanraya yang lalu maka Najib akan diminta mengundurkan diri dan memberikan pimpinan itu kepada TS Muhyiddin Yassin. Itulah caranya di dalam UMNO selagi ada seorang yang masih dibiarkan aktif dan menyibuk dalam politik UMNO itu sekarang.


Tetapi kali ini strategi itu akan memudharatkan UMNO itu sendiri. Pilihanraya kali ini akan mengakibatkan bukan sahaja kumpulan Najib terpaksa berundur tetapi yang berkehendakkan Najib berundur itu pun akan di undurkan oleh rakyat. Jika usaha setengah pihak dalam UMNO hendak mengenepikan Najib itu hanyalah untuk mengambilalih peranan sebagai Ketua Pembangkang sahaja kerana keseluruhan UMNO itu nampaknya akan menjadi pihak pembangkang tidak berapa lama lagi.

Sebenarnya jika Pakatan Rakyat mendapat mandat rakyat ia merupakan satu hikmah bagi UMNO kerana semasa menjadi pembangkang itu lah UMNO berkesempatan untuk malakukan introspeksi diri dan melihat kedalam kenapa mereka di ketepikan oleh rakyat negara ini. Semasa itu nanti UMNO bolehlah mengambilalih kepimpinan Najib itu dan membetulkan UMNO seperti yang sepatutnya.

Itu sebabnya ulamak yang muktabar sentiasa mengingati kita supaya jangan menerkam yang cantik itu kerana di sebalik kecantikan itu mungkin ada kecelakaannya. Di sebaliknya jika datang musibah dan yang buruk jangan terus ditolak kerana mungkin ada kebaikan di sebaliknya.

Dalam kes UMNO ini mereka (UMNO) mesti jangan gusar menerima kekalahan kerana di sebalik keburukan itu sudah pasti ada hikmah di sebaliknya.Hikmah bukannya dalam bentuk kuasa yang ada ditangan, tetapi hikmah yang sebenarnya ialah berkesempatan bagi memperbaiki diri untuk menjadi parti yang lebih baik dan mempunyai perjuangan yang betul.

Ramai manusia yang takut kepada mati, tetapi apabila mereka mati dalam keimanan mereka akan tahu bahawa hidup di alam yang selepas mati itu adalah kehidupan yang enak dan dan menyejukkan. Itu kata-kata ramai alim ulamak yang mempunyai makam yang tinggi, bukannya kata-kata dari saya.

Jangan berasa terlalu kecewa jika kali ini UMNO mengambil giliran untuk membangkang, kerana membangkang itu boleh membina pemikiran dan menajamkan perjuangan mereka. Semasa duduk sebagai pembangkang itu UMNO akan lebih mudah untuk menolak pimpinan yang selama ini dianggap tidak baik untuk perjuangan parti itu. Semasa itu nanti Dr Mahathir bolehlah menaikkan Muhyiddin dan menurunkan Najib kerana menaikkan dan menurunkan pimpinan itu adalah ‘forte’ dan kekuatan Dr Mahathir.

Semasa itu nanti Dr Mahathir bolehlah menaikkan Muhkriz untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO untuk membantu Muhyiddin mengambil kembali mandat rakyat dalam pilihanraya yang berikutnya. Itu pun jika rakyat mahu UMNO kembali menjadi parti kerajaan.

Tetapi mungkin semasa itu nanti UMNO akan dapat merasakan nikmatnya sebagai parti pembangkang.

http://aspanaliasnet.blogspot.com/2013/01/umno-akan-merasakan-nikmat-menjadi.html

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...