TERKINI :

Saturday, January 5, 2013

Siapa bakal diletup Deepak?



Tahun 2013 sudah pasti tahun pilihan raya, tiada keraguan lagi. Semua maklum hal ini. Tarikh PRU13 tidak begitu dibincangkan lagi sekarang. Cepat atau lambat, bedanya tidak ketara, sama sahaja.

Walaupun ramai menjangkakan Parlimen akan dibubar selepas Tahun Baru Cina -- mungkin atas perkiraan pengundi Tionghua yang sukar dijinakkan BN -- tetapi jika Najib Razak terus menganjak sedikit lagi ke depan, saya rasa, tiada siapa yang peduli.

Setiap parti komponen dalam Pakatan Rakyat dan BN sudah bersiap sedia sejak lebih setahun lalu, malah mungkin sebahagiannya mula mengadu keletihan dan tidak mustahil ada jentera kempen yang semakin kepupusan sumber.

Namun begitu, tinjauan rambang yang saya lakukan secara tidak sengaja semasa cuti hujung tahun baru-baru ini menunjukkan mood untuk melakukan perubahan sukar digugat lagi.

Bertemu anak-anak muda yang kelihatan masih mentah dalam politik dan tidak gemar berbicara soal pemerintahan, namun apabila diajukan siapa pilihan mereka dalam pilihan raya, hampir sepakat mahu melihat kerajaan dan pimpinan yang baru.
Di kenduri kahwin, walaupun sekadar bersembang sepintas lalu sambil berselisih bahu , tetapi ramai kenalan memberi mesej jelas: Cukuplah Umno yang korup dan rasuah. Berilah peluang kepada Pakatan Rakyat untuk buktikan mereka juga mampu menawarkan yang lebih baik.

"Saya lama dalam kerajaan, masak sangat dengan bermacam-macam cara dan kaedah rasuah, sebahagiannya tidak dapat dihidu undang-undang," bisik seorang pesara kanan bahagian penguatkuasaan kepada saya semasa menjamah pemanis mulut.

Segera saya teringat kalimat "korupsi berjemaah", suatu istilah yang sememangnya tidak manis, tetapi mampu mengingatkan bagaimana terancangnya jenayah keji itu.

Sambil berlibur di lokasi peranginan, bukti-bukti penyalahgunaan kuasa elit Umno juga yang ditunjukkan pemabaca Harakah kepada saya. Daripada projek-projek kecil potong rumput dan papan tanda jalan, segalanya mahu dibolot, apatah lagi agihan tanah dan anugerah  jutaan ringgir, semuanya untuk kroni dan suku-sakat. Termasuk kawasan perairan pantai yang cantik dan landai!

Dapatlah saya rumuskan, komitmen tingi bagi memastikan kerajaan persekutuan bertukar dalam PRU13 payah untuk digoncang. Semacam sudah ada sumpah janji setia, kali ini BN mesti ditumbangkan. Cukuplah peluang diberi selama lebih 55 tahun. Usah dirayu mandat rakyat lagi.

Bagaimanapun, ia bukan bermakna Najib dan rakan-rakannya tidak berusaha untuk melakukan perubahan (atau transformasi) bagi meraih sokongan rakyat. Pelbagai taktik, strategi dan pendekatan diusahakan dalam pakej menarik. Ia menghanguskan dana awam yang begitu besar jumlahnya tetapi majoriti rakyat tetap memandang sinis dengan "perubahan" tersebut.

"Dr Mahathir Mohamad dan Najib mempunyai persamaan dari segi membazirkan khazanah negara, terutama hasil Petronas, tetapi sekurang-kurangnya di zaman Mahathir ada juga monumen atau tugu-tugu yang dibinanya. Lihat sendiri apa yang Najib buat dengan duit ratusan bilion? Hangus begitu sahaja," marah seorang penganalisis politik.

Bahtera BN yang bocor dan mahu karam itu ternyata sukar diselamatkan lagi.

Semasa berbincang dengan seorang sarjana politik terkemuka di rumahnya petang 1 Januari lalu, saya dapat mengesan keyakinan beliau  bahawa era Umno-BN hampir pasti berakhir. Saya sendiri terkejut, selalunya dia lebih suka memberi pandangan sebagai "orang tengah" tetapi kali ini berbeda.

"Inilah masa terbaik untuk negara kita berubah. Walaupun ada pihak berpendapat Pakatan belum mampu berkuasa selepas PRU13 dan hanya akan mencipta sejarah pada PRU14, saya berbeda dengan mereka," tegasnya sambil mengingatkan, "jika Pakatan gagal kali ini, BN tidak dapat ditumbangkan melalui pilihan raya lagi."

"Jadi, selepas itu, melalui jalan apa pula?" tanya saya kebodohan. "Kalau terlepas kesempatan terbaik PRU13 ini, mungkin kerajaan hanya dapat ditukar melalui kebangkitan rakyat seperti di Tunisia, Mesir, atau satu ketika dulu di Filipina," jawabnya, selamba.
Saya terdiam. Kemudian saya menyoal balas: "Revolusi?" Tiada jawapan. Dia ketawa.

Biarpun optimis Pakatan mampu menguasai Putrajaya, beliau agak kurang berpuas hati dengan pendekatan pemimpin oposisi menangani serangan media.

"Pemimpin PAS, DAP, KeADILan perlu bersama, bersatu tenaga, bukan sekadar menyanggah tohmahan, malah menjadikan isu yang dimainkan media itu, misalnya Hudud dan terbaru Amanat Haji Hadi, sebagai pukulan maut kepada Umno," tambahnya.

Nampaknya beliau lebih percaya dengan keupayaan gelombang kesedaran rakyat, tetapi masih meletakkan syarat, iaitu kebijaksanaan pemimpin Pakatan menangani konflik dan cabaran.

"Tentulah BN tidak akan duduk diam menunggu saat kejatuhannya. Akan adalah pelbagai taktik kotor, penipuan, manipulasi, sabotaj dan sebagainya. Bila ada aksi tentu ada reaksi. Pemimpin Pakatan harus bersedia berdepan dengannya," ujarnya.

Tidak lupa beliau berpesan kepada Harakah agar mengemukakan isu-isu besar dan real, yang dirasai dan dideritai majoriti rakyat, terutama berkaitan kehidupan seharian, serta tidak mudah dipengaruhi isu-isu tempelan.

"Kita mahu mempengaruhi pembaca, jadi bentangkan fakta yang benar, sahih dan buat perbandingan mudah melalui grafik menarik. Elak serangan membuta tuli, apatah lagi cacian dan bahasa kesat. Rakyat semakin bijak menilai," pesannya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...