TERKINI :

Wednesday, January 9, 2013

PUSPAHANAS delay sampai 2015 pulak......

Zahid Hamidi: Puspahanas dijangka siap pertengahan 2015

KUALA LUMPUR, 8 Jan — Di sebalik kontroversi, projek pembangunan Pusat Pendidikan Pertahanan Nasional (Puspahanas) yang dijadualkan siap pada tahun 2011, kini ditambah kepada empat tahun, menjelang pertengahan 2015 kata Kementerian Pertahanan (Kementah).

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran untuk projek itu siap pada 2011 tidak dapat dilaksanakan berikutan terdapatnya masalah pertukaran tanah.

"Puspahanas di Putrajaya sedang dalam peringkat pembinaan ... kami memantau (projek) kerana ia projek penswastaan dan 'progress report' akan dikemukakan dan kami telah menentukan tarikh sasaran (siap) pada pertengahan 2015," kata Ahmad Zahid (gambar) kepada pemberita di pejabatnya di sini.

"Tarikh siap pada 2011 tidak dapat dipenuhi disebabkan permasalahan pertukaran tanah," katanya.

Projek itu telah dianugerahkan kepada syarikat Awan Megah Sdn Bhd yang dimiliki Ketua Wanita Umno Selangor Senator Datuk Raja Ropiaah Abdullah, pada 2005 sebagai pertukaran dengan kira-kira 80 hektar tanah di Bukit Raja Selangor, termasuk wang sebanyak RM27 juta.

Tinjauan The Malaysian Insider awal hari ini - setelah tujuh tahun projek itu diumumkan - ke tapak pembinaan tersebut di Presint 1, Putrajaya mendapati hanya satu papan tanda dengan diliputi rimbunan daun yang menamakan Awan Megah sebagai pemaju, Garis Architech Sdn Bhd sebagai pereka bentuk, dan Kementerian Pertahanan sebagai pemilik projek.

Turut dinamakan di papan tanda itu adalah KTA Tenaga Sdn Bhd sebagai juru ukur kuantiti, Malik Lip Associates sebagai arkitek landskap, dan Sri Binaraya Sdn Bhd sebagai kontraktor.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latif Ahmad sebelum ini enggan mengulas mengenai projek tersebut, malah beliau tidak mempunyai apa-apa maklumat tentang projek yang pertama kali diilhamkan pada tahun 1971.

Projek itu yang pada mulanya dicadangkan di Taman Templer, Rawang dari tahun 1972 hingga 1985, kerajaan telah mulakan dengan pengambilalihan tanah.

Pada tahun 1980, Persidangan Angkatan Tentera meluluskan projek itu.

Pada tahun 1993, Lembaga Maktab Pertahanan Angkatan Tentera memutuskan projek diswastakan.

Pada tahun 1996, Kementerian Pertahanan memohon kepada Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri untuk penswastaan.

Pada tahun 1997, Kabinet meluluskan secara prinsip penswastaan projek Puspahanas kepada Awan Megah sebagai pulangan bagi 223 ekar tanah kerajaan di Bukit Raja yang akan dipindah milik kepada syarikat tersebut untuk pembangunan komersial.

Pada Ogos 1997, Panglima Angkatan Tentera pada ketika itu, Jeneral Tan Sri Ismail Omar berkata kerja-kerja pembinaan Puspahanas akan bermula pada akhir tahun 1997 dan dijangka akan siap pada tahun 2002.

Awan Megah akhirnya dianugerahkan perjanjian itu pada tahun 2005, dan projek itu dipindahkan ke Presint 1 di Putrajaya.

Pada majlis pecah tanah pada tahun 2008, Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan pada ketika itu Datuk Seri Abdullah Badawi berkata, ia juga akan menjadi pemangkin kepada hubungan pertahanan dan kerjasama di kalangan negara-negara di rantau ini dan di peringkat antarabangsa. Ini selaras dengan komitmen kerajaan kepada usaha memelihara keamanan serantau dan antarabangsa.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...