TERKINI :

Saturday, January 12, 2013

#KL112 - Permulaan Untuk Perubahan..ayuhhh bergerak sekarang....!


Mat Sabu: #KL112 misi naik mood hadapi PRU

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN


11 Januari 2013 KUALA LUMPUR -Himpunan Kebangkitan Rakyat, yang penganjurnya menyasarkan sejuta penyertaan, adalah satu sesi pemanas dan penaik mood Pakatan Rakyat (PR) menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata Pengarahnya, Mohamad Sabu.

Meskipun tidak mengulas secara lanjut, namun Mohamad dalam jawapan ringkasnya mengakui bahawa himpunan yang dianjurkan PR rakyat bersama-sama dengan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) turut bermotifkan politik untuk kepentingan parti pembangkang itu.

"Ia (tingkat) mood menjelang pilihan raya dan sebagai satu peringatan kepada kerajaan Barisan Nasional bahawa jangan ada unsur-unsur penipuan," kata beliau dalam satu wawancara khas menjelang #KL112 yang akan diadakan petang esok.

Ia akan berlangsung di Stadium Merdeka.

Beliau yang dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata: "Saya juga menegaskan perkara ini ketika berjumpa dengan Ketua Polis Negara."

"Kita hendak menjadikan Malaysia sebuah negara dunia ketiga yang pertama mengambil alih pemerintahan melalui pilihan raya secara aman dan tenteram.

"Kita tidak mahu berlaku tumpah darah sepertimana yang berlaku di Tunisia, Mesir, Yaman, Indonesia, Filipina apabila rakyat tidak yakin dengan sistem pilihan raya," kata beliau.

Beliau seterusnya menafikan himpunan berkenaan diadakan kerana pembangkang berada dalam keadaan tertekan dalam menghadapi PRU13.

Kelmarin, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyifatkan himpunan tersebut dizahirkan kerana pembangkang sedar pada 2013, perikatan itu akan "mencapai kemerosotan yang ketara dalam PRU, tidak menang dan kemudiannya mereka akan menuduh BN menipu dan SPR tipu."

Namun menurut Mohamad, idea #KL112 sebenarnya tercetus setelah beberapa tuntutan dan desakan daripada rakyat terutama sekali dalam perkara pokok membabitkan perjalanan pilihan raya yang sepatutnya dijalankan secara bebas dan adil, tidak diendahkan oleh kerajaan.

Malah ujar Mohamad, ia bukan satu tuntutan yang baru, sebaliknya sudah dizahirkan melalui tiga himpunan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) yang pada hematnya masih gagal dilunaskan oleh kerajaan sehingga ke hari ini.

"Perhimpunan Bersih telah diadakan tiga kali, Bersih 3.0 membawa lapan tuntutan, di antaranya tuntutan yang paling utama ialah daftar pemilih yang bersih, media yang adil.

"Banyak lagi perkara lain yang tidak ditunaikan tetapi dua perkara ini begitu ketara sekali kerajaan tidak peduli.

"Daftar pemilih masih lagi didapati berada dalam keadaan keraguan, di mana ada orang yang sudah lama meninggal dunia masih ada lama daftar pemilih, penambahan luar biasa di Selangor menjadi keraguan kepada kami dan 150,000 lebih pengundi tak dapat dikesan di Selangor," jelas beliau.

Apatah lagi ujarnya, beberapa perkara yang melibatkan kepentingan awam turut dipandang sepi oleh kerajaan sehingga menyebabkan rakyat mula marah dan merasakan tampuk pemerintahan perlu bertukar tangan.

"Rakyat termasuk semua rakyat hendak digambarkan mereka nak kepada perubahan, perubahan termasuk pertukaran kerajaan melalui demokrasi dalam pilihan raya akan datang.

"Oleh itu, kami rasakan, parti-parti Pakatan dan NGO merasakan tuntutan seterusnya perlu dibuat menjelang pilihan raya ditambah pula dengan gerakan royalti supaya kerajaan menunaikan perjanjian, anak-anak peneroka mahu mereka selamat di masa akan datang, hal tentang alam sekitar (misalnya).

"Maka gabungan daripada semua ini, perlu ada himpunan menjelang pilihan raya dan tuntutan ini adalah tuntutan yang berpatutan, siapa yang menjadi kerajaan selepas ini, kita harap dapat menunaikan tuntutan rakyat," tegas beliau lagi.

Bahkan menurut Mat Sabu, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga gagal untuk mengawal kemarahan rakyat meski sudah berhabisan demi menyajikan pelbagai insentif kepada rakyat menerusi Belanjawan 2013 baru-baru ini.

"Imbuhan itu bukan boleh menyelesaikan masalah. Imbuhan tetapi dengan hutang negara meningkat dengan begitu dahsyat. Lima perdana menteri meninggalkan hutang, sama juga dengan Najib yang pegang kuasa tidak sampai empat tahun.

"Kalaulah kami diberi amanah untuk mengambil alih, kami juga merasa cemas melihat keadaan kewangan negara sekarang ini," jelas beliau lagi.

Lapan tuntutan yang dipanggil tuntutan rakyat ialah pilihan raya adil dan bersih, bebaskan tahanan ISA, memartabatkan bahasa ibunda, menuntut pendidikan percuma, selamatkan kampung warisan dan tradisi, selamatkan alam sekitar, pulangkan royalti minyak dan semalatkan Felda.

Antara NGO yang terlibat dalam penganjuran himpunan gergasi ini ialah Royalti, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Himpunan Hijau, Muafakat, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM); Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Gerakan Demokratik Mahasiswa (Denma); Jeritan Rakyat Tertindas (Jerit), 11) Gerakan Mansuh PPSMI dan Kempen Anti Saman Ekor (Kase).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...