Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Umno kini berada dalam keadaan "sasau, meroyan dan nyanyuk" sehingga sanggup memainkan pelbagai dakwaan termasuk hubungan dengan Yahudi dan Israel serta kenyataan anaknya, Nurul Izzah yang didakwa menyokong murtad.

anwar in kota bharu"Umno kini sasau, meroyan dan nyanyuk... Sebabnya (mereka) tidak ada benda yang hendak dipertahankan. Kalau ikut negeri dan pembangunan, negeri Pakatan Rakyat lebih membangun. Bersih lagi (pentadbiran) kita.

"Yang ada (pada mereka) fitnah. Kalau rakyat sudah termakan fitnah, padahnya punah ranahlah negara kita. Kita (kena) selamatkan negara kita, umat dan negeri Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang," kata Anwar yang juga ketua umum PKR.

Apatah lagi, katanya, rakyat kini memberi sambutan pada janji Pakatan yang ditawarkan termasuk pendidikan percuma, mengembalikan royalti kepada negeri yang berhak dan menurunkan harga kereta, sekiranya gabungan itu berjaya menguasai Putrajaya.

Berucap di hadapan kira-kira 50,000 hadirin dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Mohamad ke-IV di Kota Bharu malam tadi, Anwar menempelak pemimpin BN yang mendakwa negara akan muflis jika Pakatan Rakyat mentadbir negara ini.

Ketua pembangkang itu menegaskan dakwaan tersebut tidak benar memandangkan terbukti sebelum ini hutang negeri Kelantan yang ditinggalkan oleh Umno sebelum ini, dibayar oleh Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat.