NONE
Satu sumber dalaman kerajaan negeri Kedah mendakwa, kerajaan negeri tidak wajar dipersalahkan berhubung projek penyelenggaraan rumah kos rendah yang menelan kos RM2.55 juta seperti dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011

Pegawai yang enggan namanya disiarkan itu mengakui bahawa penyelenggaraan berkenaan, seperti dinyatakan dalam laporan ketua audit, sememangnya dibuat untuk rumah yang tidak wujud.

Namun, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak tahu menahu mengenai perkara itu kerana tidak dimaklumkan mengenainya sebelum ini.

Dakwanya, pegawai yang bertanggungjawab ke atas perkara itu tidak membincangkannya dengan exco kerajaan negeri.

Sumber mendakwa, pegawai yang dimaksudkannya itu ialah bekas pengarah urusan Permodalan Kedah Berhad (PKB) Abdul Rahman Mohd Saad yang kini masih bertugas di pejabat setiausaha kerajaan negeri.

"Tak ada siapa yang boleh jawab isu ini. Dia sahaja yang boleh jawab," katanya.