Radhi bakal tinggalkan Kedah
Aksi Radhi semasa mengemudi pasukan Kedah pada musim ini.
 
ALOR SETAR - Berikutan penetapan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa setiap penolong jurulatih mesti memegang lesen kelas A pada musim 2013 menyebabkan Radhi Mat Din bakal melepaskan jawatan disandang sekarang.

Radhi yang kini memegang lesen kelas B sebagai Penolong Jurulatih Kedah bagaimanapun akan terus mengalas tanggungjawabnya sehingga Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memutuskan penggantinya kelak.
             
KFA melalui kenyataan media berkenaan persiapan pasukan Kenari menjelang tahun 2013 menjelaskan pihak pengurusan sedang di dalam proses membuat penilaian calon yang paling layak menggantikan bekas pemain Kedah itu. Sementara itu, Radhi ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan beliau turut menyatakan masih belum memikirkan untuk mengambil lesen A setakat ini.