'Saya tak akan minta maaf kepada Shahrizat'
Datuk Saifuddin Nasution Ismail
 
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Sivil di sini hari ini membatalkan saman fitnah yang dikemukakan Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali terhadap Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution Ismail berhubung artikel di akhbar Suara Keadilan, dua tahun lepas.
 
Hakim Datuk Hue Siew Kheng membenarkan permohonan Saifudin untuk membatalkan saman Ibrahim terhadapnya dengan kos RM8,000. Beliau membuat keputusan itu dalam kamarnya.
 
Peguam Puspawati Rosman yang mewakili Saifudin berkata antara alasan yang diberi hakim itu ialah mahkamah bersetuju dengan pembelaan Saifuddin bahawa artikel itu tidak berbaur fitnah.
 
Pada 2 Jun 2010, Ibrahim mengemukakan saman berjumlah RM2 juta ke atas Saifuddin kerana didakwa memfitnahnya.
 
Menerusi pernyataan tuntutan, Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendakwa Saifuddin secara palsu dan dengan berniat jahat di Suara Keadilan edisi minggu 27 April hingga 4 Mei 2010 menyebarkan perkataan yang membabitkannya dengan perniagaan.