Rafizi pertahan keaslian dokumen projek LRT
 
Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli mempertahankan keaslian dokumen yang didedahkannya sebelum ini sebagai bukti dakwaan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak campur tangan dalam tender terbuka untuk projek sambungan LRT Ampang.

Beliau juga percaya kepada individu yang membocorkan dokumen tersebut kepadanya, kata Rafizi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Setakat ini semua dokumen yang dia (pembocor maklumat) bagi itu asli. Saya sanggup ambil risiko (buat pendedahan)," katanya yang enggan mendedahkan identiti individu itu.

Beliau mengulas kenyataan pengarah urusan kumpulan Syarikat Prasarana Negara Berhad Datuk Shahril Mokhtar yang mempertikaikan keaslian dokumen yang didedahkan Rafizi.

Shahril hari ini dilaporkan berkata, dokumen didedahkan Rafizi – dilaporkan mendakwa Kementerian Kewangan mengarahkan Prasarana supaya menganugerahkan kontrak tersebut kepada firma George Kent (M) Bhd – mungkin tidak asli.