Veteran tentera dakwa terima amaran dari isteri menteri

Persatuan Veteran Tentera Melayu menangguhkan rancangannya untuk berdemonstrasi di hadapan Kementerian Pertahanan pada 29 Jun ini, kata presidennya Mohd Ali Baharom.

NONEMenurut Ali, penangguhan itu dilakukan kerana Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi tidak berada di pejabat Kementerian Pertahanan (Mindef) pada tarikh tersebut.

"Kami dapat risikan Datuk Seri Zahid Hamidi tiada di Mindef pada tarikh itu. Dia ingin lari ke kem komando Mersing untuk rehat selama dua hari," katanya.

Pada masa yang sama juga, Ali mendakwa isteri Zahid Hamidi juga menghantar SMS memberikan amaran kepadanya berhubung perhimpunan tersebut.

Ali kemudian menunjukkan satu kiriman SMS di telefon bimbitnya yang berbunyi: "Perlu diingat Datuk Seri Zahid Hamidi bukan sendirian dan (dia) bermaruah. Saya tak fikir orang-orang akan berdiam diri dan senang-senang nak buat kacau bilau depan Mindef".

Sementara itu, ketika dihubungi, isteri Zahid Hamidi, Datin Seri Hamidah Khamis enggan memberikan sebarang komen berkenaan dakwaan Ali itu.