oleh Naruto
Masa saya bersekolah rendah dahulu, tiap-tiap minggu bila ada perhimpunan di sekolah, kami kena baca ikrar Rukun Negara. Rasanya ramai lagi set-set sekolah rendah tahun-tahun 1970an dan 1980an yang merasa pengalaman ini.
Bab kena taat kepada negara ni siapapun akan marah kalau dia dituduh tidak berbuat demikian. Terutamanya yang lahir di Malaysia ini samada dia warganegara ataupun belum lagi. Kata orang dulu-dulu, “tempat jatuh lagikan dikenang ....”
Bila dah masuk sekolah menengah, saya diajar bahawa negara kita mengamalkan prinsip ‘demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan.’ Sistem kerajaan kita ada 3 peringkat iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tu semua orang tahu. Tapi masa saya kecil dulu-dulu, Kerajaan Tempatan yang saya tahu hanyalah signboard ataupun tulisan di lori-lori milik Majlis Daerah Kerajaan Tempatan (MDKT) Kuala Muda.