Malam Jumaat luar biasa di Pantai Dalam
 
SAKSI MATA Hari Khamis 24 Mei yang lalu sepatutnya sama seperti hari-hari Khamis lain. Saya ditugaskan membuat liputan ceramah politik PKR - satu perkara yang biasa saya lakukan sebelum bertugas di Malaysiakini lagi. Ceramah itu dijadual berlangsung di Pantai Dalam, yang terletak dalam kawasan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Sepanjang jalan bermula dari stesen Petronas Pantai Dalam ke tapak ceramah di PPR Pantai Permai aliran trafik lebih sesak daripada biasa.

pantai dalam kerinchi pkr 240512Kelihatan pemuda-pemuda berbaju-T merah memegang kain rentang berdiri di kiri kanan jalan. Pada kain rentang tersebut tertulis mesej-mesej antaranya "Anwar kaki pusing", "Parti anak-beranak", dan "Parti Kencing Rakyat"

Saya tidak pasti sekiranya kesesakan trafik hari itu berpunca daripada kebanjiran ramai orang ke ceramah Pakatan Rakyat yang merupakan satu perkara biasa, atau kerana jalan raya ke tapak ceramah menjadi semakin sempit dengan kehadiran pemuda-pemuda berbaju merah tadi.

Kira-kira 10 meter dari tapak ceramah PKR rupa-rupanya turut berlangsung satu lagi ceramah politik. Kain rentang ceramah politik itu bertulis "Ganyang Petualang Negara", dipercayai ditujukan buat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jangkaan saya tepat apabila mendapati antara penceramah yang dijadualkan berucap di pentas itu adalah Ummi Hafilda Ali, seperti yang dapat dilihat pada satu kain rentang.