Kuin MB - siaran 4 april
KUALA KETIL - Sesi pengajian di kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (Kuin) Kuala Ketil dijangka bermula pertengahan tahun depan setelah kerja pembangunannya kini mencecah lebih 60 peratus.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yakin ia mampu disiapkan menjelang Disember ini  berdasarkan kemajuan projek itu.

“Saya pantau dengan rapi projek itu supaya berjalan lancar. Malah kita sudah pun melangkaui jangkaan apabila kini projek itu siap lebih 60 peratus. Ini suatu perkembangan yang baik kerana ia adalah antara projek mega Kerajaan Negeri,” katanya, ketika meninjau tapak projek Sabtu lalu.

Hadir sama, Adun Kupang, Johari Abdullah dan Adun Kuala Ketil, Md Zuki Yusof.

Menurutnya, sebahagian besar bangunan sudah siap antaranya bangunan untuk program Usuluddin, Quran dan Sunnah termasuk dewan utama.

“Ada bangunan sudah dipasang siling, dicat dan dipasang alat penghawa dingin. Tetapi masih ada bangunan sedang dibina antaranya bangunan Canselori,” katanya.

Azizan yang juga Pengerusi Kuin berkata, difahamkan dewan utama Kuin Kuala Ketil merupakan dewan tertutup terbesar di utara tanah air kerana mampu memuatkan 5,500 orang termasuk sebuah panggung eksperimen dengan kapasiti 1,500 orang.