Umno Kedah simpati nasib Adun Kuala Nerang
4 April 2012

ALOR SETAR - Umno Kedah bersimpati dengan nasib yang menimpa Datuk Syed
Sobri Syed Hashim apabila dilucutkan kelayakannya sebagai Adun Kuala
Nerang kerana muflis.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, dalam situasi ini,
parti sudah tentu kehilangan seorang wakil rakyat yang sentiasa membela
kepentingan masyarakat setempat.
"Saya sudah dimaklumkan mengenai kedudukan terkini Syed Sobri sebagai
Adun, malah sebelum ini, Barisan Nasional (BN) negeri sudah beberapa
kali membantunya menangani masalah hutang.
"Saya bersimpati dengan kes hutang yang beliau hadapi sehingga menjadi
muflis dan gugur kelayakan sebagai seorang Adun. Namun kita
berharap beliau masih dapat meneruskan khidmat kepada rakyat dan parti,"
katanya menerusi satu kenyataan media kepada Sinar Harian semalam.
Terdahulu, Syed Sobri yang menang kerusi Dun Kuala Nerang buat kali
pertama dalam pilihan raya umum 2008, mengumumkan bahawa beliau
diisytiharkan muflis sejak Disember tahun lalu kerana gagal menjelaskan
hutang perniagaannya.