FAM
NIATNYA hanya mahu memberikan pandangan peribadi berhubung pencapaian skuad kebangsaan. Namun mungkin cara dan mediumnya tidak kena, sehingga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa dituduh melanggar titah Sultan Ahmad Shah.

Merasakan jawatannya selaku orang nombor dua dalam FAM beliau layak untuk membuat kenyataan, Annuar ternyata silap percaturan apabila luahannya itu dianggap sebagai satu kesalahan yang amat besar.

Mungkin akan menerima nasib sama seperti bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar yang digantung tiga tahun pada 1991 dan Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil pada 2001 (empat tahun) dan 2006 (setahun) kerana mengkritik FAM, Annuar nampaknya tidak keseorangan.

Hasil tinjauan Sinar Harian Online semalam mendapati, rata- rata penyokong bola sepak negara bersetuju dengan kenyataannya mengenai prestasi skuad kebangsaan yang dilihat terumbang ambing lebih-lebih lagi dalam usaha mempertahankan Piala AFF Suzuki 2010. Antaranya termasuklah daripada Rosdan Shafein yang menganggap sifat kurang bijak hanya memakan diri dan merugikan bola sepak negara secara keseluruhannya.

Malah, Azhar Hamzah berkata, jika kritikan akan membawa kebaikan kepada industri bola sepak negara, maka pihak yang dikritik harus menerima kritikan dengan positif.